
Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy berkata, mereka dimaklumkan terdapat beberapa kes yang menyaksikan pihak berkuasa “terlalu berkeras” terhadap klinik terbabit.
Beliau memohon supaya mereka diberikan kelonggaran memandangkan kehadiran pesakit yang terlalu ramai tidak boleh dielakkan.
“Pihak berkuasa perlu faham bahawa orang ramai datang ke klinik kerana tidak sihat dan biasanya ditemani ahli keluarga atau penjaga. Sebilangan daripada mereka memerlukan penjagaan segera dan klinik tidak boleh menolak mereka.
“Sudah tentu pengamal perubatan am dan kakitangan mereka akan melakukan yang terbaik untuk mengawal jumlah pesakit dibenarkan masuk ke klinik. Bagaimanapun kadangkala ia di luar kawalan. Ini perlu difahami oleh pihak berkuasa,” katanya.
Subramaniam memberi jaminan bahawa doktor sememangnya sedar dengan kepentingan SOP dan klinik juga mempunyai garis panduan dalaman mengenai penyakit berjangkit.
Katanya, doktor di klinik juga adalah petugas barisan hadapan dan komponen penting dalam pengurusan pandemik.
“Banyak aduan daripada pesakit bukan Covid-19 diterima pihak klinik ketika ini apabila berlaku lambakan pesakit Covid-19 di hospital kerajaan.
“Pengamal perubatan am mempunyai peranan penting dalam memastikan jagaan kesihatan paling hadapan masih disediakan kepada rakyat ketika waktu krisis ini,” katanya.