Siasat dakwaan, bukan tuduh aktivis, kerajaan diberitahu

Siasat dakwaan, bukan tuduh aktivis, kerajaan diberitahu

Kumpulan NGO berkata, perkara didedahkan oleh Heidy Quah disokong oleh SUHAKAM.

Aktivis Heidy Quah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kira-kira 81 NGO dan kumpulan masyarakat sivil menggesa Putrajaya memulakan siasatan bebas terhadap kemungkinan berlaku salah urus di pusat penahanan imigresen, susulan pendakwaan terhadap seorang aktivis mengenai keadaan di lokasi seperti itu.

Kumpulan itu yang menggesa tuduhan terhadap Heidy Quah digugurkan, turut berkata maklumat yang dikongsikan aktivis pelarian di Facebooknya disokong laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada 2018.

SUHAKAM tiga tahun lalu, mendedahkan keadaan di pusat tahanan imigresen sebagai “sesak, tidak bersih, tidak diselenggara dengan baik, dan kekurangan kemudahan asas seperti bekalan air bersih serta makanan.”

Kumpulan terlibat turut berkata, SUHAKAM masih mendokumenkan keadaan teruk di pusat penahanan imigresen, namun kerajaan tidak memperkenalkan pembaharuan untuk menangani isu berkenaan, sebaliknya mendiamkan mereka yang membangkitkannya.

“Tindakan berwibawa dan bertanggungjawab yang sepatutnya dilakukan kerajaan adalah untuk membuka siasatan bebas terhadap kemungkinan berlaku salah urus, penganiayaan atau salah guna kuasa di dalam dan berkaitan dengan pusat penahanan,” kata kumpulan itu.

Kenyataan bersama mereka ditandatangani, antara lain, oleh All Women’s Action Society (Awam), Amnesty International Malaysia dan Tenaganita selain 67 individu.

Terdahulu hari ini, Quah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berhubung hantarannya di Facebook mendakwa penganiayaan pelarian di pusat penahanan imigresen.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia, dengan pendakwaan berhujah hantaran dikongsikan pada 5 Jun 2020 itu bertujuan menghina orang lain.

Tahun lalu, polis menyoal Quah berhubung hantaran itu, dan aktivis berkenaan menyerahkan telefon bimbitnya kepada pihak berkuasa ketika siasatan.

Kenyataan kumpulan terlibat turut berkata, tindakan mendakwa Quah setahun selepas hantaran berkenaan mencetuskan persoalan terhadap niat dan motivasi kerajaan terhadap seorang aktivis yang begitu aktif membantu golongan terpinggir.

“Pendakwaan terhadap Heidy Quah ini tidak boleh diterima. Menceritakan kebenaran bukanlah satu jenayah. Membiarkan perkara buruk berlaku terutama terhadap mereka yang lemah, itu kekejaman yang sebenar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.