
Beliau berkata, jumlah kes positif di negeri berkenaan adalah sekitar 10%, turun daripada 19% pada satu ketika.
“Kita tidak malu kerana angka (Covid-19) kita tinggi, tetapi kita malu kalau berlakunya kes kematian, terutamanya BID,” tegasnya.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, kerajaan negeri berusaha habis-habisan untuk melakukan pengujian secara besar-besaran bagi mengelak kes BID.
Tambahnya, kerajaan pusat gagal menjalankan ujian diagnostik.
“Jika seseorang itu telah menjalani ujian RTK-Ag, kenapa kita perlu ulang dengan ujian PCR?” soalnya, sambil menambah bahawa usaha itu memerlukan kepantasan seperti dalam peperangan.
Katanya, selepas satu setengah tahun, kerajaan kini membenarkan kit ujian air liur digunakan untuk mengesahkan jangkitan.
“Apa yang ambil masa lama sangat untuk faham?” soal beliau ketika berbahas mengenai Covid-19, sambil menggesa negeri lain turut menjalankan ujian secara besar-besaran.
Katanya, petugas kesihatan bekerja berlebihan dan terbeban apabila negara mencatatkan rekod jangkitan harian sebanyak 17,000 kes.
“Inilah pentingnya ‘reform’ dilakukan segera. Bagaimana berbilion-bilion (dalam pakej rangsangan ekonomi) itu telah dibelanjakan?” soalnya.
Beliau menjawab soalan Charles Santiago (PH-Klang) mengenai sama ada rakyat boleh menyaman kerajaan atas kematian insan tersayang akibat kekurangan katil, peralatan perubatan, pakar dan ambulans terutamanya di Lembah Klang.
“Adakah masa sudah sampai untuk rakyat saman kerajaan?” tanya Santiago.
Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) bercakap mengenai kejayaan ubat Ivermectin di India, dengan jangkitan turun daripada 400,000 kes sehari kepada 30,000 sehari dan bertanya sama ada Malaysia akan turut meluluskan penggunaannya.
Khalid Samad (PH-Shah Alam) turut kecewa dengan penerangan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba awal hari ini, dengan berkata, ia tidak menyentuh sebab-sebab kegagalan menangani krisis.
“Di mana kesilapan kita? Tiada analisis mengenai mengapa kes naik menjadi 17,000 sehari,” katanya, sambil bertanya tentang langkah-langkah yang diambil bagi memastikan katil cukup di hospital.
Johari Abduh (PH-Sungai Petani) berkata, kurang daripada 10% populasi di kawasan diwakilinya telah menerima vaksin.
“Ada yang mendaftar pada Februari dan berusia 40 tahun ke atas,” katanya.
Adham dijangka menjawab soalan berkenaan petang ini.