
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, wanita berusia lingkungan 30-an yang tinggal di Kampung Lok Urai, di Pulau Gaya, mengadu sakit mahu bersalin.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, wanita terbabit tidak lagi dapat menahan lalu melahirkan anak di atas bot penambang berkenaan.
Kehadiran wanita dan bayi terbabit di jeti pasar menarik perhatian sepasukan polis yang sedang berkawal berikutan kawasan Pulau Gaya diisytiharkan sebagai kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
Pasukan polis diketuai Johri Rubinsin bersama dua anggota lain serta beberapa anggota RELA itu terus bertindak menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan segera.
Talian berkenaan disambung ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1), sebelum dijawab seorang doktor bertugas.

Johri berkata, ketika ditemui, wanita berkenaan dalam keadaan sangat lesu akibat kehilangan banyak darah, selain bayi terbabit masih mempunyai tali pusat menyambung ke uri.
Dalam keadaan cemas, doktor bertugas meminta Johri membuat bantuan kecemasan, iaitu pertolongan awal dengan bertindak mengikat uri bayi berkenaan bagi mengelak jangkitan kuman berisiko membahayakan nyawanya, sebelum ketibaan ambulans ke tempat kejadian.
Bagaimanapun, pasukan polis tidak mempunyai tali untuk melakukan tindakan itu, sebelum mencadangkan penggunaan tali pelitup muka untuk mengikat uri bayi itu, lalu dipersetujui doktor terbabit.
Keadaan menjadi lebih terkawal selepas ketibaan pasukan paramedik dari QEH1 yang kemudiannya memberi rawatan awal, sebelum membawa wanita itu bersama bayinya menuju ke hospital.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Mohd Zaidi Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan wanita terbabit kini berada dalam keadaan selamat di QEH1 bersama bayi perempuannya.