
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam satu kenyataan berkata, keputusan berkenaan dicapai selepas mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik pada 23 Julai lalu.
Katanya, kebenaran beroperasi itu adalah terpakai kepada pemaju perumahan yang masih aktif dan sah Lesen Pemajuan Perumahan dan Permit Iklan dan Jualan (APDL) mengikut Akta 118.
“Di bawah fasa satu, aktiviti dibenarkan beroperasi adalah pejabat pengurusan pemaju perumahan; urusan serahan notis milikan kosong (vacant possession) dan kunci rumah; kerja-kerja baik pulih kerosakan kritikal dalam tempoh liabiliti kecacatan (defect liability period); dan kerja-kerja pembinaan untuk Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah SPNB bagi kontraktor G1 hingga G4.
“Sementara itu, di bawah fasa dua, aktiviti tambahan yang dibenarkan adalah aktiviti pemasaran dan jualan di pejabat pemaju, ejen jualan, galeri jualan, unit contoh dan unit hartanah subsale,” menurut kenyataan itu.
Kebenaran beroperasi sektor pemaju perumahan tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terkini Sektor Pemajuan Perumahan yang boleh dimuat turun di laman sesawang, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di https://www.kpkt.gov.my.
Selain itu, SOP pembinaan dikeluarkan Kementerian Kerja Raya (KKR) di www.cidb.gov.my dan SOP Am, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia di www.mkn.gov.my, bagi mengekang penularan wabak Covid-19.