
Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata, kerajaan hanya akan memasuki Fasa 2 sekiranya bilangan kes harian turun di bawah 4,000 bererti hanya 12 kes daripada setiap 100,000 populasi.
“Bagaimana untuk mencapai perkara ini? Jika dilihat Lembah Klang, jumlah itu tidak realistik dan mustahil. Buat masa ini ada 7,000 kes sehari. Bila kita akan bergerak ke Fasa 2?” soalnya ketika sidang media di Parlimen.
Sim berkata, sekadar memfokuskan terhadap bilangan kes akan menyukarkan perniagaan dibuka semula.
“Melihat kepada bilangan kes, mustahil untuk mereka berbuat demikian. PPN memang gagal dan kerajaan diharapkan membincangkannya di Parlimen,” katanya.

Katanya, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan (KKM), kebanyakan negeri kini berada dalam krisis kerana bilangan katil yang kurang di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Katanya, separuh daripada semua negeri telah mencapai had kapasiti 200% dan ini dianggapnya “sangat mengejutkan.”
“Contohnya, di Selangor, pada Mei bilangan katil ICU hanya ditingkatkan sebanyak 250 manakala pada Jun, ada penambahan sebanyak 300. Laporan itu menunjukkan permintaan untuk katil ICU jauh melebihi bilangan yang disediakan.
“Kerajaan perlu memandang serius isu ini. Rakyat sengsara, tidak cukup katil ICU terutama di Lembah Klang,” katanya.
Beliau bagaimanapun memuji kementerian itu kerana telus dengan laporannya kerana ini menunjukkan kepada rakyat betapa kritikal keadaan kapasiti ICU di hospital awam.
Berhubung pembatalan OrdinanDarurat, Sim berkata, ini memberi kesan besar terhadap sektor kesihatan.
Katanya, kerajaan telah menggunakan ordinan berkenaan antara lain untuk merunding kaedah menangani kapasiti ICU dengan menghantar pesakit ke hospital swasta, selain harga vaksin.
“Memandangkan ordinan ini telah dibatalkan secara tiba-tiba, kerajaan telah hilang kuasa rundingannya dengan hospital serta syarikat swasta.
“Ini menunjukkan kegagalan kerajaan bertindak dengan cara yang betul. Kementerian perlu menjelaskan implikasinya terhadap sektor kesihatan,” katanya.