Helikopter dapat kebenaran rentas negeri untuk diselenggara, bukan beli ‘nasi ganja’, kata polis

Helikopter dapat kebenaran rentas negeri untuk diselenggara, bukan beli ‘nasi ganja’, kata polis

Polis telah merakam kenyataan ketua balai polis yang memberi kebenaran dan semua individu yang terlibat, termasuk pengadu, pemilik premis makanan dan pemilik syarikat helikopter.

Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis masih meneruskan siasatan dan hasil siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya.
IPOH:
Helikopter yang mendarat di Padang Ipoh di sini pada Jumaat lepas hanya memperoleh kebenaran rentas negeri bagi tujuan penyelenggaraan pesawat itu, bukannya membawa tempahan “nasi ganja”.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya merakam kenyataan ketua balai polis yang memberi kebenaran dan semua individu yang terlibat, termasuk pengadu, pemilik premis makanan dan pemilik syarikat helikopter jenis Bell 505 Global Ranger itu.

“Pihak polis masih meneruskan siasatan dan hasil siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan orang ramai diminta tidak membuat spekulasi kerana boleh mengganggu proses siasatan.

Semalam, polis Perak dilaporkan mengambil keterangan beberapa individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk berusia 52 tahun, bagi membantu siasatan insiden berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor.

Isu berkenaan tular dalam media sosial apabila sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh dipercayai untuk mengambil pesanan 36 bungkus “nasi ganja” yang ditempah pelanggan dari ibu negara di sebuah kedai menjual nasi kandar terkemuka di bandar raya ini.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan pada Sabtu lepas memaklumkan helikopter Bell 505 dikendalikan oleh Systematic Aviation Services Sdn Bhd (SAS) itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ke Ipoh pada 9.08 pagi sebelum kembali ke Subang pada 11:02 pagi seperti difailkan dalam pelan penerbangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.