‘Perjuangan anda juga perjuangan kami’, Umno seru serap doktor kontrak

‘Perjuangan anda juga perjuangan kami’, Umno seru serap doktor kontrak

Penyerapan doktor kontrak ke jawatan tetap adalah penyelesaian yang Malaysia perlukan, kata Mohamad Hasan.

Mohamad Hasan menyambut baik tawaran penyelesaian yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai “langkah ke hadapan”, namun berkata, ia tidak menyelesaikan tuntutan mereka.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, hari ini secara terbuka menyeru kerajaan menyerap pegawai perubatan kontrak ke jawatan tetap ketika negara bersiap sedia menghadapi hartal doktor kontrak di sebalik situasi Covid-19 di banyak hospital.

Beliau menyambut baik tawaran penyelesaian yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai “langkah ke hadapan”, namun berkata, ia tidak menyelesaikan tuntutan mereka.

“Tuntutan mereka jelas. Serapan ke jawatan tetap tidak berpencen, mencukupi dengan caruman untuk laluan kerjaya yang lebih menjamin,” katanya di Facebook.

“Penyerapan mereka ke jawatan tetap adalah penyelesaian yang Malaysia perlukan.”

Mohamad berkata, pandemik dalam 18 bulan ini menonjolkan pelbagai kelemahan ketara dalam sistem kesihatan sekali gus memerlukan peningkatan drastik.

Tegasnya, pelaburan dalam sektor kesihatan sangat perlu dipertingkatkan “dalam lingkungan 7% ke 10% KDNK”.

“Paradigma akses universal mesti beralih dan diselarikan dengan peningkatan kualiti perubatan.

“Nisbah yang lebih baik untuk doktor kepada penduduk mesti diutamakan. Nisbah pakar untuk 10,000 penduduk wajar dipertingkatkan dari 3.4 pada 2018 kepada 15 selari dengan tanda aras Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.

“Penyelidikan, kesihatan pencegahan, digitalisasi serta sistem sokongan lain, semuanya memerlukan peningkatan berganda.”

Berhubung doktor kontrak pula, Mohamad menyeru kerajaan menyerap mereka ke perjawatan tetap kerana mengambil kira “sumbangan, titik peluh dan pengorbanan doktor kontrak kita” terutamanya sewaktu pandemik.

Beliau menyeru kerajaan melakukan penyerapan itu sebagai suatu pengiktirafan khas dalam sejarah perubatan negara.

“Untuk kohort selepas mereka, keluarkan garis panduan baharu yang lebih jelas untuk memasuki perkhidmatan kerajaan bagi memastikan tiada berlakunya lambakan pegawai perubatan,” katanya.

Mohamad turut mengingatkan tidak semua doktor dalam sistem kerajaan akan selamanya berkhidmat dengannya.

“Akan ada mereka yang memilih haluan lain. Namun pengalaman mereka dalam perkhidmatan kerajaanlah yang akan memberikan wibawa yang mereka perlukan untuk masa depan mereka, bukan ganjarannya,” tambahnya.

Mengenai hartal, Mohamad menganggapnya sebagai hak doktor kontrak terbabit untuk bersuara dan menunjuk rasa.

“Tetapi semasa negara menghadapi krisis kesihatan ini, fikirkan sebaik-baiknya. Kami menghormatinya dan kami juga mengiktiraf sumbangan anda pada tanah air. InsyaAllah perjuangan anda adalah juga perjuangan kami demi Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Pada Jumaat lalu, selepas beberapa siri tekanan diberikan oleh Gerakan Hartal Doktor Kontrak yang meminta mereka diserapkan ke jawatan tetap, Putrajaya mengumumkan semua pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Muhyiddin berkata, keputusan yang dipersetujui Kabinet itu sebagai langkah penyelesaian segera termasuk melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun.

Pada Jun, Mohamad dalam kenyataan berkata, walaupun serapan ke jawatan tetap secara lazimnya berlaku bila ada kekosongan, sistem kesihatan tidak lagi boleh beroperasi dengan kapasiti terdahulu, “dengan jumlah perjawatan diperuntukkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam pada nisbah dan norma pra pandemik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.