Dengan CAC maya, pesakit Lembah Klang boleh dikuarantin di rumah

Dengan CAC maya, pesakit Lembah Klang boleh dikuarantin di rumah

Pesakit Covid-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan boleh dipantau dari jauh berbanding ke CAC.

Orang ramai beratur panjang di luar CAC Stadium Malawati di Shah Alam awal bulan ini yang menimbulkan kritikan dan Kementerian Kesihatan mengkaji semula syaratnya. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Pesakit Covid-19 kes ringan dan tidak bergejala di Lembah Klang tidak perlu ke pusat penilaian Covid-19 (CAC) susulan penubuhan CAC maya.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Chong Chee Kheong yang mengetuai Pasukan Petugas Khas Lembah Klang, berkata pesakit dalam kategori itu perlu menjalani pengasingan di rumah dan pengawasan jarak jauh.

CAC maya ditubuhkan susulan kritikan orang ramai terhadap pusat itu yang sesak akibat lonjakan kes Covid-19 di Kuala Lumpur dan Selangor.

CAC pada awalnya ditubuhkan untuk menilai pesakit positif Covid-19 sama ada mereka perlu menjalani pengasingan di rumah, dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau menerima rawatan di hospital.

Tetapi, dengan adanya CAC maya, mereka tidak perlu keluar rumah. Individu yang disahkan positif Covid-19 hanya perlu mematuhi garis panduan disediakan.

Chong berkata, kontak rapat pesakit Covid-19 juga dikehendaki mengasingkan diri di rumah tanpa perlu menjalani ujian saringan, kecuali mereka turut mempunyai gejala.

Katanya, semua pesakit Covid-19 yang menjalani pengasingan perlu melaporkan diri dalam talian melalui Home Assessment Tools (HAT) dalam aplikasi MySejahtera setiap hari.

Garis panduan itu akan berkuat kuasa serta-merta untuk pesakit Covid-19 tidak bergejala atau bergejala ringan seperti berikut:

  1. Segera jalani pengasingan di rumah.
  2. Muat turun aplikasi MySejahtera untuk melaporkan keputusan positif ujian Covid-19 mereka dan menerima Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital, yang turut berperanan sebagai peringatan mereka di bawah HSO secara sah, walaupun tidak memakai gelang merah jambu.
  3. Lengkapkan Home Assessment Tools (HAT) dalam aplikasi MySejahtera setiap hari.
  4. Penilaian kendiri pesakit akan diawasi melalui Modul Pengurusan CAC Maya dalam sistem eCOVID19. Mereka akan dihubungi pusat panggilan CAC jika ada keperluan.
  5. Pesakit yang perlu ke CAC berdekatan untuk penilaian klinikal akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera atau pusat panggilan.
  6. Jika pesakit mendapati gejala mereka bertambah teruk, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di hospital berdekatan, bukannya menunggu panggilan dari CAC maya.

Pesakit yang memerlukan bantuan boleh menghubungi CAC Call Centre di talian 03-7723 9299 (dibuka 8 pagi hingga 9 malam setiap hari) atau CPRC Hotline 03-7723 9300 (8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari).

Chong berkata, pelaksanaan garis panduan baharu dan CAC maya akan mengurangkan kesesakan di CAC, memendekkan masa menunggu pesakit dan memastikan pengawasan awal untuk semua kes Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.