
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, kes indeks kluster itu membabitkan kakitangan kesihatan di Jabatan Kecemasan pusat berkenaan.
Katanya, lelaki berusia 29 tahun itu disahkan positif Covid-19 hasil saringan bergejala pada 18 Julai lalu.
“Daripada 417 kontak rapat yang disaring, 14 kes positif dikesan, termasuk tiga kes baharu hari ini.
“Jumlah itu merangkumi lapan kes di tempat kerja, iaitu petugas kesihatan, manakala enam lagi kes merupakan kontak serumah, masing-masing tiga kes di Kampung Lembah Permai dan Kampung Sokid Bundu Tuhan,” katanya dalam kenyataan perkembangan Covid-19 di Sabah.
Selain kluster Simpang Tiga, lima lagi kluster baharu adalah Jalan Tungku di Lahad Datu, Gerbang Kauran (Keningau), Tinabau (Kinabatangan), Kampung Sogo-sogo (Tongod), Gipan Kelombong di Kota Kinabalu dan Tuaran.
Dalam perkembangan lain, Masidi ketika dihubungi berkata, kerajaan sentiasa menilai SOP bagi menangani Covid-19 bagi memastikan ia kekal relevan dan bersesuaian dengan keadaan semasa.
“Akan ada perubahan jika perlu, tetapi kita tidak boleh panik dengan jumlah kes baharu yang tinggi.
“Oleh kerana lebih banyak jangkitan kepada masyarakat, sudah pasti ia ada kesan ‘berganda’ dalam jumlah jangkitan dan oleh itu, kita akan memperluaskan pencarian kontak rapat untuk memutuskan rantaian jangkitan.”
Beliau berkata, setiap keputusan berhubung SOP akan dibuat berdasarkan kajian serta data di lapangan.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga akan mengkaji data dan angka setiap hari bagi membolehkan perubahan strategi dilakukan sebagai respons terhadap lonjakan kes.
“Kunci untuk semua perkara ini ialah mempercepatkan lagi vaksinasi, dengan penghantaran vaksin ke Sabah kini mengikut jadual, program vaksinasi di sini pastinya akan meningkat.
“Sabah menerima lebih 1 juta dos vaksin bulan ini dan semalam, JKNS melaksanakan pemberian vaksin sebanyak 35,749 dos dan ianya akan meningkat kepada sekurang-kurangnya 50,000 dos vaksin dalam sehari.
“Bagaimanapun, saya juga ingin mengingatkan oramg ramai agar turut memainkan peranan mematuhi SOP.”