
Berita Harian melaporkan Fazelina Mohd Lias, 37, Mansor Saat, 57, dan remaja perempuan berusia 13 tahun itu membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Ketiga-tiga tertuduh dari Taman Bukit Kempas, Johor Bahru itu ditahan polis pada 17 Jun lalu kerana dipercayai terbabit mendera dua beradik lelaki itu sejak Jun lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Fazelina, Mansor dan anak saudaranya yang secara bersama menjaga dua kanak-kanak itu, menganiayai mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Tiga tertuduh itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah rumah di Taman Bukit Kempas kira-kira 3 petang 10 Jun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Qaiyyum memohon jaminan masing-masing RM20,000 terhadap Fazelina dan suaminya, serta RM5,000 bagi remaja itu, dengan syarat tambahan ketiga-tiga tertuduh tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan.
Fazelina merayu mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana tidak bekerja, manakala Mansor mengemukakan alasan dia berpendapatan RM1,600 sebulan dan menanggung seorang anak.
Ketika mahkamah meminta remaja itu membuat rayuan, dia sekadar mendiamkan diri.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan masing-masing RM8,000 dengan seorang penjamin kepada pengasuh dan suaminya, manakala remaja itu dibebaskan dengan jaminan RM1,500 dan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan 22 Ogos ini untuk penyerahan dokumen, termasuk laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan untuk tertuduh melantik peguam.