
Ahli Parlimen Tanjung itu ketika dihubungi berkata, beliau tidak dapat menghadiri persidangan khas Parlimen esok, sementara menunggu ujian saringan kedua pada Rabu ini.
“Saya menjalani ujian RT-PCR seperti dikehendaki pada Jumaat dan keputusannya negatif. Ujian kedua saya pada Rabu dan saya berharap semuanya dalam keadaan baik.
“Saya diarahkan Jabatan Kesihatan Negeri untuk menjalani kuarantin di rumah segera selepas pegawai berkenaan disahkan positif.”
Chow berkata, ada kemungkinan individu lain di pejabatnya perlu menjalani ujian saringan itu, tetapi beliau tidak pasti berapa ramai yang terjejas.
Susulan itu, tidak diketahui berapa ramai ahli Parlimen yang dapat menghadiri persidangan Parlimen esok kerana terdapat laporan berita mengatakan sekurang-kurangnya empat ahli Parlimen disahkan positif Covid-19, selepas ujian mandatori sebelum Dewan Rakyat bersidang.
Chow antara individu terawal divaksin sepenuhnya dengan Pfizer dalam fasa pertama Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19.
Beliau juga terpaksa membatalkan lawatan kerja ke pusat vaksinasi yang diuruskan badan bukan kerajaan (NGO) di pusat beli-belah Autocity Juru di Bukit Mertajam hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Mansor Othman mengesahkan beliau positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan pada Jumaat lalu.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu adalah ahli politik pertama yang mengesahkan dijangkiti virus itu, selepas laporan mendakwa beberapa ahli Parlimen antara 35 pegawai yang disahkan positif menjelang sidang khas Dewan Rakyat esok.
Mansor dipetik The Vibes sebagai berkata, beliau tidak tahu bagaimana dirinya dijangkiti Covid-19 kerana beliau mematuhi semua SOP ditetapkan.
Beliau kini menjalani kuarantin kendiri di rumah dan di bawah pemerhatian pihak berkuasa kesihatan. Ini bermakna beliau tidak dapat menghadiri persidangan khas esok.
Katanya, beliau sudah lengkap dua dos vaksin dan tidak bergejala ketika ini.