
Beliau berkata, penggunaan vaksin mampu mencegah kesan teruk apabila dijangkiti Covid-19 dan kadar kemasukan ke hospital untuk warga emas turut menunjukkan trend penurunan.
Berdasarkan data dari Hospital Sungai Buloh, katanya, kadar kemasukan ke hospital untuk warga emas bagi Kategori 4 dan 5 menunjukkan trend penurunan selaras pelaksanaan Fasa 2 PICK.
“Vaksin Covid-19 sememangnya alat perlindungan penting kepada manusia dalam berdepan virus SARS-CoV-2,” katanya dalam temu bual bersama media secara maya baru-baru ini.
Khairy berkata, keraguan terhadap keberkesanan vaksin Covid-19 di negara ini dilihat semakin menurun, dengan ramai yang mendaftar untuk menerima suntikan.
“Mungkin ada yang tidak mahu menerima vaksin sebab ingin ambil ubat lain-lain, tetapi apabila diumumkan apa yang dibenarkan sekiranya lengkap vaksinasi, lebih ramai akan tampil untuk divaksinasi.”
Mengenai keperluan suntikan ketiga vaksin (booster), beliau berkata, perkara berkenaan akan dikemas kini dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) minggu depan.
Katanya, beliau difahamkan “technical working group” yang dipengerusikan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Institut kesihatan Negara, Kalaiarasu M Peariasamy, akan mengemukakan beberapa syor berhubung “booster shot”.
Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya meminta Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) memeriksa aspek pengudaraan di semua pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara bagi mengelakkan penularan Covid-19 di sana.