Tiada peserta konvoi ‘Bendera Hitam’ ditahan, kata polis Temerloh

Tiada peserta konvoi ‘Bendera Hitam’ ditahan, kata polis Temerloh

Ia susulan Sekretariat Solidariti Rakyat mendakwa tiga individu dipercayai ditahan polis di Temerloh kerana menyertai konvoi kenderaan itu sebagai membantah kerajaan PN.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, bukan sahaja tiada tangkapan dibuat, konvoi kenderaan membawa bendera hitam juga tidak kelihatan di Temerloh hari ini.
PETALING JAYA:
Polis di Temerloh, Pahang menafikan ada individu yang menyertai konvoi “Bendera Hitam” ditahan di daerah itu seperti didakwa Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR).

Ketua Polis Daerah Temerloh, Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, bukan sahaja tiada tangkapan dibuat, konvoi kenderaan membawa bendera hitam juga tidak kelihatan di daerah itu hari ini.

“Hari ini, kita siap sedia sahaja (pantau jika ada konvoi kenderaan bendera hitam),” katanya kepada FMT.

Terdahulu, SSR dilaporkan berkata, tiga individu dipercayai ditahan polis di Temerloh kerana menyertai konvoi kenderaan “Bendera Hitam” di seluruh negara sebagai membantah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kumpulan itu yang juga penganjur konvoi terbabit berkata, bantuan guaman akan segera disediakan kepada tiga individu terbabit.

Ia turut menjangkakan lebih 100 kenderaan berkonvoi di seluruh negara bermula 11 pagi hingga 5 petang tadi dan mendakwa lima konvoi di negeri lain diganggu polis.

“Bilangan kenderaan yang berkonvoi lebih besar sekiranya tiada intimidasi daripada polis di beberapa kawasan. Konvoi telah diganggu polis di Cyberjaya, Manjung, Melaka, Quayside Mall di Kuala Langat dan Kuching,” katanya dalam kenyataan petang tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.