
Justeru, Perdana Menteri berkata, semua pihak termasuk kerajaan, rakyat, badan bukan kerajaan dan lain-lain pihak mesti bekerjasama serta memberi sokongan bagi menjayakan PPN yang merupakan strategi peralihan keluar daripada krisis kesihatan melanda negara sejak Mac tahun lepas.
“Kalau nak sebutkan sama ada negara tak berjaya, kita baharu memulakan untuk melancarkan PPN dan pelan ini tak boleh selesai dalam masa seminggu, kesan tidak dapat dinilai dalam masa sebulan, ia akan mengambil masa untuk kita nilaikan.
“Ia mengambil suatu masa yang panjang dan menyakitkan, tetapi saya percaya dan berkeyakinan kita akan berjaya melepasi ujian ini. Berikan kerajaan peluang untuk mengatasinya,” katanya dalam wawancara khas bersama media.
PPN, yang diumumkan Muhyiddin 15 Jun lepas merangkumi empat fasa melibatkan pelan peralihan fasa perintah kawalan pergerakan (PKP) secara berperingkat.
Ia berpandukan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya, iaitu melibatkan keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi dan tahap populasi dilindungi dengan peratusan lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
Muhyiddin berkata, Malaysia antara negara pertama yang mengemukakan pelan pemulihan secara menyeluruh dan untuk itu, kerajaan perlu proaktif dalam menyediakan satu kerangka dan dasar teratur bagi memastikan negara berada di landasan tepat.
Katanya, negara kini berdepan situasi dinamik dengan kemunculan varian baharu dan memerlukan kerajaan menguruskannya dengan pantas, sistematik serta telus.
Ia termasuk meningkatkan pemberian vaksin terutama di kawasan Lembah Klang yang 50% daripada bilangan kes harian Covid-19 dari Selangor dan Kuala Lumpur.
Beliau berkata, setakat ini, lapan negeri memasuki Fasa Dua PPN dan menjangkakan Sarawak antara negeri terawal beralih ke Fasa Tiga, memandangkan ia mempunyai tahap vaksinasi tinggi serta kawalan kesihatan baik.
Selain itu, mempertingkatkan kadar vaksinasi melalui Operasi Lonjakan Kapasiti bagi memastikan semua orang dewasa di Lembah Klang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos juga dapat melandaikan keluk jangkitan.
Menyentuh isu jangkitan Covid-19 tinggi di Lembah Klang, Muhyiddin berkata, Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley telah ditubuhkan dan diketuai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Chong Chee Kheong bagi memantapkan kesiapsiagaan sistem kesihatan di Lembah Klang dalam mengurus pandemik Covid-19.
Beliau menjelaskan penyediaan katil ICU mencukupi, menghantar kes bukan Covid-19 kepada hospital swasta dan mengklasifikasikan lebih banyak hospital kerajaan khusus bagi merawat Covid-19 antara langkah diambil pasukan itu.
Katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah menyalurkan penambahan perbelanjaan amat signifikan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), iaitu lebih RM70 bilion sejak Mac 2020 untuk menguruskan pandemik, terutamanya dalam meningkatkan kapasiti awam negara.
Beliau berkata, peruntukan itu adalah peningkatan tertinggi dalam sejarah Malaysia dalam jangka masa singkat disebabkan krisis kesihatan.
“Sememangnya kita telah menderita bertahun-tahun, kurang pelaburan di dalam sistem kesihatan awam yang kerajaan ini cuba perbetulkan sekarang. Saya tidak menyalahkan pentadbiran sebelum ini, tapi hakikatnya kita tidak memberikan perhatian lebih mendalam kepada isu penjagaan kesihatan kita dan kemudahan hospital.
“Cantik hospital tetapi tak cukup katil, tak cukup alat-alat ICU, tak cukup ventilator, tak cukup oksigen. Semua tak cukup sebab tidak pernah berlaku dalam sejarah kita. Ini realiti, kita tidak boleh nafikan.”
Muhyiddin turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan yang bertungkus-lumus bergelut dengan pandemik Covid-19, selain memohon maaf kepada semua pihak yang menghadapi ancaman wabak itu selama ini.