
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, ada isu lebih besar dalam pendakwaan membabitkan Syed Saddiq, iaitu peraturan berkaitan pendanaan politik.
Beliau berkata, lebih baik kerajaan menutup pintu kemudaratan akibat ketiadaan peraturan jelas dalam mengawal selia dana politik.
“Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu tidak serius dalam mewujudkan peraturan tersebut. Saya pernah dilantik oleh kerajaan menyertai sebuah jawatankuasa berkaitan pendanaan politik semasa era Najib Razak. Tetapi, entah apa berlaku kepada laporan yang kami sediakan,” katanya dalam catatan Facebook.
Di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), katanya, beliau dilantik semula menyertai Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) dan ada laporan komprehensif disediakan, termasuk pendanaan politik.
“Alhamdulillah, kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerima laporan itu dengan baik dan ia telah pun dibawa ke Kabinet. Saya lihat ada pergerakan yang positif sekarang.
“Saya telah mengusulkan kepada rakan-rakan dalam Kabinet agar diputuskan dengan segera bagaimana melaksanakan penambahbaikan dicadangkan ERC, termasuklah dalam hal pendanaan politik.”
Kenyataan itu menyusul Syed Saddiq yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khamis lalu atas dua tuduhan menyalahgunakan RM1.12 juta milik Pemuda Bersatu.
Daripada jumlah itu, RM120,000 dikatakan ialah dana parti untuk pilihan raya umum 2018, sementara RM1 juta didakwa dikeluarkannya tanpa kebenaran pucuk pimpinan.
Semalam, Syed Saddiq menerima sumbangan orang ramai berjumlah RM715,573.77 daripada 9,836 penderma dalam tempoh 24 jam bagi melangsaikan baki ikat jamin pada Selasa ini dan membiayai yuran guamannya.
Wan Saiful mempersoalkan jika sumbangan diterima Syed Saddiq itu akan dikenakan cukai atau beliau perlu melaporkannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
“Para penderma sudah pasti ikhlas mahu membantu, dan Syed Saddiq pun sudah nyatakan beliau akan menyediakan laporan audit.
“Adakah dana itu perlu dilaporkan sebagai pendapatan individu atau pendapatan syarikat, atau pendapatan apa? Adakah kos peguam peribadi termasuk sebagai dana politik?
Sementara itu, Majlis Presiden PH mengkritik pertuduhan ke atas Syed Saddiq sebagai pendakwaan terpilih dan mendakwa kerajaan PN memperalatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai “senjata politik”.
Gabungan pembangkang itu dalam kenyataan berkata, agensi kerajaan tidak patut dijadikan senjata politik untuk menekan ahli Parlimen pembangkang menyokong PN.