
Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), Ramachandran Muthiah, 70, cedera di seluruh badannya selepas keluar dari keretanya. Motif serangan itu belum diketahui.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy berkata, Ramachandran dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan kecemasan, sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya.
Katanya, Ramachandran kini dalam keadaan stabil dan isteri serta menantunya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
“Serangan terhadapnya adalah serangan ke atas kerajaan Pulau Pinang dan lembaga wakaf itu.
“Kerajaan negeri akan sedaya upaya mengesan dan menahan pengecut di sebalik serangan ini,” katanya ketika dihubungi.
Ramachandran pernah menjadi setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia cawangan Pulau Pinang. Beliau ialah ahli kesatuan yang terbabit secara aktif dalam isu utama dihadapi industri di negeri itu pada 1970-an dan 1980-an.
Beliau juga pernah dilantik sebagai ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai selama dua penggal dan pengarah eksekutif PHEB.