
Jurucakap gerakan itu, Umar Barakah berkata pihaknya akan memfokuskan mogok pada Isnin ini serta melihat sejauh mana maklum balas daripada kerajaan, termasuk pihak atasan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Dari awal lagi, kita sudah hantar memorandum kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, KKM, Jabatan Perkhidmatan Awam, ketua setiausaha dan pegawai perdana menteri, tapi mereka seolah-olah tidak merasai apa yang kami rasai,” katanya selepas sidang media sambil memaklumkan gerakan itu terbuka berbincang dengan mana-mana pihak.
Beliau berkata, mogok akan diteruskan di hospital dan klinik kesihatan seluruh negara selepas Isnin ini kerana kerajaan didakwa gagal memenuhi beberapa tuntutan kumpulan doktor kontrak dalam perkhidmatan awam.
Mereka menganggarkan 4,000 hingga 5,000 doktor akan menyertai mogok berkenaan.
“Mereka akan masuk kerja pada pagi sebelum melaksanakan ‘walk-out’ pada 11 pagi. Kita nak tunjuk yang jumlah kita ini ramai dan kalau kita tiada, sistem kesihatan akan lumpuh.”
Katanya, mereka yang berkhidmat di unit rawatan rapi (ICU) digalakkan kembali bekerja selepas “walk out” dan mogok akan diteruskan selepas 26 Julai ini, selagi tuntutan mereka tidak dipenuhi.
Beliau berkata, kumpulan itu turut menyediakan pasukan guaman untuk ahli Hartal, jika kerajaan mahu mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang menyertai mogok pada Isnin ini.
“Kami percaya kepada kebebasan bersuara dan sebagai doktor kontrak serta petugas barisan hadapan, kami mempunyai hak untuk menyuarakannya.”
Semalam, Muhyiddin berkata, Kabinet bersetuju pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak selama dua tahun selepas melengkapkan perkhidmatan wajib.
Katanya, penyelesaian segera itu bertujuan memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.
Dua perkara dituntut gerakan berkenaan ialah penyerapan ke jawatan tetap dan penjelasan mengenai kriteria bagi penyerapan 23,000 doktor kontrak yang sedang berkhidmat ketika ini.