Tweet peruntukan RM70 juta sistem vaksinasi, penganalisis kewangan ditahan

Tweet peruntukan RM70 juta sistem vaksinasi, penganalisis kewangan ditahan

Lelaki berusia 30 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok untuk direman.

Lelaki itu ditahan selepas hadir di Balai Polis Wangsa Maju untuk direkodkan kenyataannya. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Seorang penganalisis kewangan di sebuah syarikat kad kredit ditahan polis hari ini berhubung hantaran di Twitter mengenai peruntukan RM70 juta kerajaan untuk membangunkan sistem berhubung program vaksinasi Covid-19 yang sedang dijalankan.

Peguam C Rajsurian Pillai berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan selepas hadir di Balai Polis Wangsa Maju untuk merekodkan keterangannya.

“Dia diminta hadir pada 3 petang. Mereka turut merampas telefon bimbitnya sebelum menahannya,” kata peguam itu yang menemani suspek ke balai polis.

Rajsurian berkata, seorang pegawai polis dari Bukit Aman telah merekodkan keterangan itu.

“Pegawai itu turut mengeluarkan notis bawah Seksyen 6 Ordinan Darurat untuk menurunkan hantaran di Twitter itu yang dikatakan berita palsu,” katanya.

Rajsurian berkata, anak guamnya bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan lisan polis jam 8.30 malam tadi.

Katanya, polis juga tidak mendedahkan siapa yang membuat laporan dalam kes itu.

Lelaki menggunakan akaun Twitter @nizamiks itu dikatakan mengongsikan hantaran mengenai peruntukan RM70 juta berkenaan pada 29 Mei lalu.

Pada 5 Jun, seorang pegawai jualan berusia 36 tahun menggunakan nama akaun Twitter @ChairmanGLC ditahan di Balai Polis Kota Damansara kerana kesalahan serupa.

Polis turut menyerbu rumahnya dan merampas beberapa gajet termasuk telefon bimbit dan penghala wifi.

Suspek juga menyerahkan kata laluan akaun Twitternya kepada pihak polis.

Rajsurian yang turut mewakili lelaki terbabit berkata, anak guamnya itu dibebaskan selepas siasatan di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu).

“Saya tidak pasti mengenai status siasatan itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.