Tembak lotong, aktivis fail kes hidupan liar pertama di mahkamah

Tembak lotong, aktivis fail kes hidupan liar pertama di mahkamah

Penduduk Port Dickson dan NGO tuntut deklarasi tindakan PERHILITAN menembak lotong cengkong menyalahi undang-undang.

Bangkai lotong cengkong dilihat di celah pokok selepas ditembak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Satu saman difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban bagi menuntut deklarasi bahawa tindakan menembak beberapa lotong cengkong di Port Dickson menyalahi undang-undang dan dipercayai merupakan tindakan melibatkan hidupan liar pertama di negara ini.

Dua plaintif, Nurul Azreen Sultan, seorang penduduk Taman Raja Zainal di mana kejadian berlaku dan pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (HIDUP) dinamakan sebagai plaintif dalam saman yang difailkan Tetuan Raj & Sach itu.

“Ini langkah penting lagi bersejarah dan kami tidak fikir tindakan seumpamanya pernah dilakukan sebelum ini,” kata peguam Sachpreetraj Singh Sohanpal yang mewakili plaintif dalam sidang media maya.

“Dari perspektif perundangan, kami mahu semua orang tahu bahawa inilah undang-undangnya dan haiwan terancam tidak boleh dibunuh.

“Jika berlaku lagi, kami mempunyai justifikasi untuk mengambil tindakan terhadap pelakunya.”

Gambar kejadian itu tular pada 19 Mei lalu dengan dakwaan bahawa pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) membunuh 20 lotong cengkong di Taman Raja Zainal, Port Dickson.

Susulan itu, PERHILITAN berkata, ia hanya membunuh tujuh monyet spesies berkenaan yang agresif dan kerap mengganggu penduduk setempat.

Katanya, haiwan itu terpaksa dibunuh selepas usaha menangkapnya gagal.

Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) yang dianggotai PERHILITAN, mengklasifikasikan lotong cengkong sebagai spesies terancam. Akta Pemuliharaan Alam Sekitar 2010 turut mengkategorikannya sebagai spesies terlindung.

Sementara itu, Nurul berkata, beliau masih trauma dihantui memori melihat monyet itu kesakitan selepas ditembak.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh PERHILITAN bahawa monyet itu ditembak kerana menyerang seorang guru yang terpaksa dimasukkan ke ICU.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaannya di hospital berhampiran tidak menemui pesakit berkenaan.

“PERHILITAN sepatutnya mengambil tindakan terhadap pegawai terbabit, sebaliknya menyokong tindakan mereka. Saya masih terbayang anak monyet yang mati dibunuh. Saya tidak dapat menerimanya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.