Tabung Haji lebih selamat diselia BNM, kata penganalisis

Tabung Haji lebih selamat diselia BNM, kata penganalisis

Baharom Abdul Hamid berkata bank pusat dapat memantau kemasukan deposit pada jumlah yang besar agar tidak disalahgunakan terutama dalam kegiatan "cuci duit".

PETALING JAYA:
Keputusan kerajaan meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat mampu menjanjikan integriti, kecekapan dan ketelusan lebih baik dalam pengurusan institusinya.

Penganalisis ekonomi, Baharom Abdul Hamid berkata, bank pusat dapat memantau kemasukan deposit pada jumlah yang besar agar tidak disalahgunakan terutama dalam kegiatan “cuci duit”.

“TH tiada had siling deposit, jadi simpanan mencecah jutaan ringgit. Justeru bank pusat akan dapat memantau kemasukan deposit pada jumlah yang besar, seterusnya memastikan dana itu datang daripada sumber yang sah.

“Maka, saya tidak faham kenapa ada yang tidak suka sebab segalanya adalah menuju ke arah tadbir urus, ketelusan, integriti yang lebih baik maka seharusnya kita menyokong TH diletakkan di bawah BNM,” katanya kepada FMT.

Baharom Abdul Hamid.

Diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki bahawa TH lebih sesuai dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti, beliau tidak bersetuju dengan pandangan itu.

Ujarnya, ia perlu dilihat daripada fungsi asal TH, iaitu tabungan maka ia lebih sesuai berada di bawah kawal selia BNM, sebaliknya jika diletakkan di bawah Suruhanjaya Sekuriti, ia akan lebih memfokuskan kepada pelaburan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa sebelum ini berkata, kenyataan akan BNM “mengambil alih” TH perlu diperjelaskan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab untuk meyakinkan umat Islam kelestarian TH dan dapat terus berkhidmat dengan amanah.

Beliau juga mengingatkan pihak yang mengeksploitasi isu TH untuk kepentingan politik dan sentimen perkauman supaya melihat pengalaman dan “kecurangan” yang berlaku sebagai pengajaran.

Ujarnya, pelan penstrukturan semula TH yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menampakkan hasil dan diberi pengiktirafan oleh Menteri Kewangan hari ini sebagai pelan kelestarian TH.

“Jangan politikkan TH tetapi ambillah pengajaran bagaimana kejayaan penstrukturan semula TH dapat diteruskan dengan fasa kelestarian kepada portfolio pelaburan dan pengurusan risiko asetnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.