
Berdasarkan infografik yang dikongsi di Twitter, agensi mengurus dana persaraan pekerja itu memaklumkan bayaran akan dimasukkan ke akaun bank pencarum dalam tempoh satu hingga tiga hari waktu bekerja.
Bagi pembayaran secara arahan bayaran pula, KWSP menjelaskan ahli akan menerima notis atau dihubungi cawangan dipilih untuk urusan pengambilan wang tunai.
Semakan status bayaran boleh dibuat melalui i-akaun atau menghubungi hotline i-Citra di talian 03-8922 4848 untuk pertanyaan.
Pada 28 Jun, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan skim i-Citra yang membenarkan ahli KWSP terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) membuat pengeluaran wang sehingga RM5,000.
Ia membolehkan pengeluaran kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan selama lima bulan tertakluk kepada jumlah simpanan ahli.
Permohonan dibuka mulai 15 Julai lalu menerusi http://icitra.kwsp.gov.my.
KWSP turut memaklumkan bayaran bagi program i-Sinar untuk Ogos diawalkan kepada 26 dan 27 Julai.
Pengeluaran i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) pada 28 Jun sebagai inisiatif jangka masa pendek bagi membantu ahli yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19.