
MBJB dalam kenyataan berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai borang itu sebagai borang pendaftaran vaksin jenis Pfizer di bawah kuota mana-mana pihak.
“Borang yang ditularkan itu adalah borang pendaftaran vaksin yang digunakan oleh urusetia Southern Volunteers Johor Bahru bagi membantu mendaftarkan warga bandar raya Johor Bahru yang masih belum mendaftar bagi pengambilan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau menerusi laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV),” kata kenyataan itu semalam.
Dalam pada itu, MBJB menafikan sebarang makluman yang mendakwa pendaftaran vaksin melalui borang urusetia itu lebih diutamakan untuk pemberian vaksin berbanding kaedah pendaftaran sendiri melalui aplikasi MySejahtera atau laman web JKJAV.
Katanya, urusetia terbabit turut menggunakan platform laman web JKJAV bagi menyemak dan mendaftarkan orang awam yang belum mendaftar vaksin.
Semalam seramai 30,008 orang warga bandar raya itu berjaya didaftarkan.
MBJB berkata, program pendaftaran vaksin ini akan diteruskan sehingga hari ini.