Awas, sindiket tipu bayar bil utiliti, kata Bukit Aman

Awas, sindiket tipu bayar bil utiliti, kata Bukit Aman

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din berkata sindiket akan menghubungi mangsa yang mempunyai tunggakan bil utiliti dan menawarkan diskaun jika mangsa membenarkan mereka melunaskan bayaran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din menggesa mangsa tampil membuat laporan, selain mengingatkan supaya pembayaran bil utiliti secara terus kepada penyedia perkhidmatan sah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis mengesan taktik jenayah baharu sindiket penipuan yang memanipulasi sistem pembayaran bil utiliti untuk memperdaya mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din berkata pihaknya menerima satu laporan berhubung kes berkenaan bulan ini melibatkan kerugian RM8,500.

“Dalam kes yang dilaporkan, sindiket akan menghubungi mangsa yang mempunyai tunggakan bil utiliti dan menawarkan diskaun jika mangsa membenarkan mereka melunaskan bayaran tunggakan itu.

“Pihak sindiket memaklumkan akan mendahulukan wang mereka dalam urusan itu dan mendakwa resit bayaran digunakan oleh pihak mereka untuk mendapatkan pengecualian cukai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, selepas mendapat persetujuan mangsa, sindiket akan menggunakan cek yang tiada nilai atau cek tendang untuk membuat pembayaran melalui mesin deposit milik penyedia perkhidmatan utiliti.

Katanya, selepas pembayaran dibuat, sistem penyedia perkhidmatan akan memaparkan rekod bahawa bayaran bil telah dibuat dan mangsa diminta membuat pindahan wang kepada mereka melalui bank akaun milik pihak ketiga.

“Mangsa hanya akan sedar ditipu apabila pihak penyedia perkhidmatan memaklumkan gagal menunaikan cek yang dimasukkan,” katanya.

Kamarudin berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang mungkin telah menjadi mangsa penipuan sindiket itu untuk tampil membuat laporan di balai polis berhampiran dan orang ramai juga diingatkan agar membuat pembayaran bil utiliti secara terus kepada penyedia perkhidmatan sah selain tidak melayani panggilan dari nombor tidak dikenali.

Orang ramai boleh mengunakan portal semakmule https://semakmule.rmp.gov.my untuk membuat semakan kesahihan nombor telefon serta nombor akaun bank yang diragui dan menghubungi CCID Scam Response Centre melalui talian 03-26101559/1599 jika mempunyai keraguan atau maklumat berkaitan jenayah komersial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.