Amang seksual budak 9 tahun, bapa tiri ditahan

Amang seksual budak 9 tahun, bapa tiri ditahan

Ibu saudara mangsa buat laporan polis selepas lihat mesej, gambar tak senonoh antara dua beranak itu.

Suspek yang tidak bekerja juga mempunyai rekod kesalahan dadah, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Siti Kamsiah Hassan.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap anak tirinya berusia sembilan tahun, dengan perbuatan itu terbongkar selepas mesej dalam WhatsApp antara mereka dilihat ibu saudara mangsa.

Menurut laporan Harian Metro, wanita itu yang berada di rumah keluarga terbabit mendapati terdapat unsur lucah dalam mesej itu serta gambar tidak senonoh lelaki berusia 41 tahun terbabit.

Terkejut dengan kejadian itu, wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya semalam untuk diambil tindakan selanjutnya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Siti Kamsiah Hassan berkata, siasatan mendapati suspek melakukan amang seksual termasuk menghantar mesej lucah kepada mangsa.

“Kejadian bermula awal tahun lalu dan terakhir berlaku pada bulan ini.

“Suspek yang tidak bekerja itu juga mempunyai rekod jenayah dadah,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Siti Kamsiah berkata, sebaik menerima laporan itu, suspek dikesan sebelum ditahan semalam bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Amang Seksual Fizikal dan Seksyen 15 Amang Seksual Bukan Fizikal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.