Sedikit lewat tapi vaksin tetap sampai, kata pengarah kesihatan Sabah

Sedikit lewat tapi vaksin tetap sampai, kata pengarah kesihatan Sabah

Dr Rose Nani Mudin berkata isu kelewatan penghantaran berlaku kerana permintaan semakin meningkat susulan peningkatan kes Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Rose Nani Mudin berkata, pemberian vaksin secara ‘walk-in’ masih dalam perancangan berikutan fokus pada masa ini adalah kepada mereka yang mendaftar.
KOTA KINABALU:
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Rose Nani Mudin mengakui berlaku kelewatan penghantaran bekalan vaksin ke negeri itu, namun ia hanya beberapa hari.

Katanya, walaupun vaksin berkenaan tiba lewat beberapa hari, namun semua bekalan sampai seperti yang dirancang.

“Isu kelewatan penghantaran bukan hanya berlaku di Sabah tetapi di seluruh negara dan juga di negara lain kerana permintaannya semakin meningkat susulan peningkatan kes (Covid-19).

“Bagaimanapun, semua vaksin akan sampai seperti yang dirancang,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi Ketua Menteri Hajiji Noor melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

Rose berkata, pihaknya juga sedang mengemas kini dan memperbaiki perkhidmatan di semua PPV bagi memastikan program vaksinasi negeri itu berjalan lancar.

Katanya, ia termasuk mengemas kini semula data penduduk yang telah mendaftar kerana didapati berlaku pertindihan pendaftaran.

Dalam pada itu beliau berkata, pemberian vaksin secara ‘walk-in’ masih dalam perancangan berikutan fokus pada masa ini adalah kepada mereka yang mendaftar.

Katanya, adalah tidak adil untuk melaksanakan pemberian vaksin secara ‘walk-in’ kerana masih ramai menunggu giliran menerusi pendaftaran di aplikasi MySejahtera.

“Kita sebenarnya ada melakukan program ‘outreach’ di luar bandar di mana penduduk kampung yang tidak mempunyai akses internet dipanggil untuk menerima vaksin.

“Bagaimanapun ada segelintir penduduk yang enggan menerima vaksin, sebab itu media juga harus main peranan agar menggalakkan orang ramai menerima vaksin,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun dalam kenyataan berkata, negeri itu dijadual menerima lebih 1 juta dos vaksin Covid-19 untuk bulan ini.

Masidi berkata, untuk bulan ini Sabah telah menerima 747,980 dos vaksin itu setakat ini termasuk penghantaran terbaharu 152,100 dos yang sampai petang semalam.

“Kita mengharapkan tidak ada lagi gangguan ke atas penghantaran bekalan vaksin bagi bulan Ogos dan seterusnya. Ini akan membolehkan kita meningkatkan kadar vaksinasi bagi penduduk Sabah,” katanya, menurut laporan Bernama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.