Malaysia lepasi angka kematian Covid-19 di Indonesia, India bagi setiap juta penduduk, kata Kit Siang

Malaysia lepasi angka kematian Covid-19 di Indonesia, India bagi setiap juta penduduk, kata Kit Siang

Kit Siang berkata darurat yang diisytiharkan kerajaan PN pada Januari lalu ternyata gagal sambil mendesak Putrajaya mengambil serius terhadap angka kematian yang tinggi itu.

Lim Kit Siang berkata, Malaysia menjadi negara ke-11 yang mempunyai angka kematian tertinggi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Selepas merekodkan 199 kes kematian akibat Covid-19 semalam, veteran DAP Lim Kit Siang berkata, Malaysia sudah melepasi angka kematian harian di Indonesia dan India bagi setiap satu juta penduduk.

Indonesia merekodkan 1,383 kematian semalam manakala India pula terus mencatatkan angka yang tinggi dengan 7,374 kematian pada 10 Jun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua negara masing-masing dianggarkan mempunyai 270.6 juta dan 1.3 bilion penduduk berbanding Malaysia dengan 31.95 juta penduduk.

Lim berkata, Malaysia menjadi negara ke-11 yang mempunyai angka kematian tertinggi setiap hari selepas Brazil (1,388), Indonesia (1,383), Russia (783), Afrika Selatan (516), India (510), Argentina (437), Amerika Syarikat (411), Colombia (351), Mexico (341) dan Myanmar (247).

Dia yang mensasarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkata, ini membuktikan darurat yang diisytiharkan pada Januari lalu ternyata gagal sambil mendesak Putrajaya mengambil serius terhadap angka kematian yang tinggi itu.

“Semalam, angka kematian meningkat lebih 22 kali kepada 199 berbanding sembilan kematian direkodkan pada 10 Januari, sehari sebelum darurat diisytiharkan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Sebelum darurat, terdapat 551 kes kematian akibat Covid-19 sejak 12 bulan pertama dilanda pandemik. Kini, jumlah kumulatif kes kematian berada pada angka 7,440, meningkat lebih 13 kali dalam tempoh enam bulan.

“Ini menjadi ukuran terhadap kegagalan besar yang dilihat daripada pelaksanaan darurat, pelbagai perintah kawalan pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk mengawal penularan pandemik Covid-19,” kata Ahli Parlimen Iskandar Putri itu.

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan rekod tertinggi 199 kes kematian itu semalam dengan 11,985 kes jangkitan.

Rekod sebelum ini membabitkan 153 kematian yang dilaporkan pada Ahad lalu.

Sebahagian besar peningkatan kes dan kematian itu dikaitkan dengan kehadiran varian Delta yang dikatakan boleh merebak dalam tempoh beberapa saat sahaja, kata kementerian berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.