
“Rasuah Busters” mengadakan pertemuan secara berkala untuk membincang dan merumuskan pelbagai strategi dalam memperkemaskan usaha pembanterasan rasuah di samping menjalankan usaha meningkatkan kesedaran tentang struktur pemerintahan melalui tadbir urus dan nilai integriti rakyat Malaysia.
Ketua Pasukan Teras #RasuahBusters Hussamuddin Yaacub berkata, pemulihan gejala rasuah perlu dijalankan secara holistik dengan mengambil kira pandangan setiap rakan gabungan yang cukup berkepakaran dalam segmen kumpulan sasar masing-masing.
“Saya berasa bersemangat dan begitu terdorong dengan sokongan besar-besaran daripada setiap spektrum masyarakat termasuk kalangan anak muda yang begitu komited untuk menerapkan nilai integriti ke dalam sistem kepercayaan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, walaupun perjalanan #RasuahBusters baharu sahaja bermula, beliau berdoa agar sebarang perilaku rasuah tidak boleh lagi disembunyikan oleh sesiapa pun.
Hussamuddin turut menjelaskan,’Malaysia tanpa rasuah’ akan menjadi laungan bersama dalam mencetuskan transformasi moral dan nilai untuk menjadikan rasuah sebagai musuh bersama untuk diperangi selain bertindak sebagai serampang dua mata.
Tambah beliau, #RasuahBusters dan gabungannya menganjurkan pelbagai program demi mencapai objektifnya dan mengajak pihak yang berminat untuk tampil dan bekerjasama menjadikannya sebagai pencapaian oleh rakyat demi rakyat.