Kilang penyimpanan minyak sawit musnah dalam kebakaran

Kilang penyimpanan minyak sawit musnah dalam kebakaran

Bomba masih di lokasi, 20 jam selepas menerima laporan kebakaran sekitar jam 12.30 tengah malam tadi.

Kebakaran itu menyebabkan kemusnahan hampir keseluruhan kilang itu.
PETALING JAYA:
Sebuah kilang penyimpanan minyak sawit di Sungai Jawi, Nibong Tebal, musnah dalam kebakaran tengah malam semalam dengan bomba perlu menjalankan proses ‘overhaul’ sehingga pagi esok bagi memastikan tiada kebakaran lain berlaku.

Ketua Balai Bomba Nibong Tebal Noor Asfariza Mohamad Abdul Kadir berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.34 tengah malam membabitkan kebakaran kilang itu yang dianggarkan berkeluasan kira-kira 4,150 meter persegi.

“Sebaik pasukan bomba tiba di kilang tersebut, kami mendapati api sedang marak membabitkan sebuah kilang tempat penyimpanan bahan mentah minyak kelapa sawit dan api berjaya dipadamkan kira-kira lima jam kemudian.

“Kebakaran itu telah menyebabkan kemusnahan hampir keseluruhan kilang itu. Pihak bomba berjaya mengawal api daripada merebak di kawasan tersebut namun kerja-kerja bagi mengawal kebakaran daripada merebak (overhaul) masih dijalankan dan dijangka diteruskan sehingga awal pagi esok,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata kebakaran itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dan sehingga kini punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Noor Asfariza berkata keadaan terkawal ketika ini dan sebanyak lapan jentera bomba berada di lokasi kejadian bagi membuat kerja-kerja ‘overhaul’.

Katanya, ini memandangkan kawasan kebakaran membabitkan kilang penyimpanan minyak sawit bererti terdapat sekam (hampas kelapa), seterusnya bomba perlu memastikan tiada bara api pada sekam berkenaan yang boleh menyebabkan kebakaran berlaku semula.

Beliau berkata, keluasan kawasan kebakaran itu juga amat besar dan keadaan diburukkan dengan angin kuat yang dibimbangi boleh menyebabkan berlaku kebakaran lain jika tidak dikawal rapi.

“Pasukan bomba juga memerlukan tempoh masa yang lama untuk proses ‘overhaul’ disebabkan faktor tekanan air yang rendah di kawasan itu dan angin kuat sejak tengah malam semalam hingga sekarang,” katanya.

Puluhan jentera bomba berada di kilang itu bagi menjalankan operasi memadam kebakaran yang memusnahkan hampir keseluruhan premis berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Ratusan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal, BBP Sungai Bakap, Perai dan Bayan Baru serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran itu.

Sebelum itu, penduduk berdekatan kilang dilaporkan gempar selepas melihat api marak menjulang ke udara, malah kepulan asap boleh dilihat dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang bersebelahan dengan lokasi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.