
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, pada 1 Jun lalu memaklumkan saringan bersasar menggunakan kit ujian RTK-Antigen akan diberi keutamaan ketika sekatan pergerakan yang berkuat kuasa pada hari sama.
Bagaimanapun Teo berkata, bilangan ujian yang dilakukan pada Jun (2,491,232) adalah kurang berbanding bulan sebelumnya (2,661,888).
Katanya, Noor Hisham telah menggesa kerajaan negeri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya membantu dengan melakukan saringan bersasar menggunakan kit ujian RTK-Antigen.
Namun katanya, ini sebaliknya “bukan realiti yang berlaku di lapangan.”
Dalam surat yang dilihat oleh FMT, Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat menolak permohonan oleh ADUN Parit Yaani Aminolhuda Hassan (pada 9 Jun) dan ADUN Yong Peng Chew Peck Choo (1 Julai) untuk melakukan program saringan RTK-Antigen secara besar-besaran.
“Kementerian Kesihatan perlu menjelaskan kenapa mereka gagal menjalankan lebih banyak saringan pada Jun dan kenapa wakil rakyat dihalang daripada menawarkan saringan percuma atau disubsidi kepada orang ramai,” kata Teo dalam kenyataan.
“Walaupun kita melihat jumlah saringan meningkat secara beransur-ansur pada Julai, tempoh satu bulan sudahpun dibazirkan.”
Surat ditandatangani Pegawai Kesihatan Batu Pahat Dr Shahril Azian Masrom menyuarakan kebimbangan berlaku keputusan positif atau negatif palsu, yang dikatakan mampu mengakibatkan “kekeliruan” dalam masyarakat.
Shahril memberitahu Aminolhuda dan Chew, Jabatan Kesihatan Negeri menggunakan strategi “lebih tepat” dengan ujian bersasar, terutama melibatkan individu berisiko tinggi.
Beliau turut menyebut mengenai risiko penyebaran Covid-19 di lokasi ujian dilakukan selain kebimbangan bahawa program saringan dilakukan wakil rakyat terbabit mungkin bertembung dengan usaha daerah itu mengekang penularan Covid-19.
Selain itu Shahril berkata, Johor di bawah perintah sekatan pergerakan (PKP) seterusnya kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mungkin mengakibatkan seseorang dikompaun sehingga RM10,000.