Aktivis bidas pengasingan pekerja asing kerana Covid-19

Aktivis bidas pengasingan pekerja asing kerana Covid-19

Aktivis memberi amaran tindakan itu hanya akan memburukkan diskriminasi sedia ada.

Aktivis berkata, langkah mengasingkan pekerja asing berpotensi memberi kesan buruk terhadap ekonomi memandangkan negara luar yang menjadi pelabur memberi lebih perhatian terhadap cara setiap negara mengurus buruh asing.
PETALING JAYA:
Dua aktivis hak asasi manusia memberi amaran bahawa langkah mengasingkan pekerja pendatang asing kerana bimbang penularan wabak Covid-19 dengan berkata, ia boleh mencetuskan lebih banyak diskriminasi dalam kalangan komuniti yang sedia terpinggir itu.

Mengulas langkah kerajaan negeri Melaka memindahkan pekerja berkenaan keluar dari kawasan perumahan, Pengarah Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira berkata, mereka bukanlah objek yang “boleh dipindahkan seperti lembu” dan aktivis Andy Hall berkata, agak terburu-buru untuk menuduh mereka menyebarkan virus.

Baru-baru ini kerajaan negeri itu mengarahkan semua majikan sektor industri memindahkan pekerja yang tinggal di kawasan perumahan ke asrama berasingan.

Ia susulan penduduk tempatan menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pendatang asing yang boleh mencetuskan lonjakan kes di kawasan perumahan terbabit.

Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali berkata, arahan itu dilihat sebagai “pendekatan terbaik untuk mengasingkan pekerja asing daripada penduduk tempatan”.

Bercakap kepada FMT, Pereira berkata, kegagalan menangani isu sensitif itu hanya akan menambah stigma kepada mereka yang memiliki dokumen sah dan sentimen perkauman terhadap pekerja asing terbabit.

“Ini akan menjadi permulaan kepada satu trend berbahaya,” katanya.

“Pekerja asing tidak lagi menggunakan pengangkutan sama seperti orang lain. Esok pihak berkuasa akan berkata, mereka tidak boleh menikmati makanan atau membeli barangan di kedai sama.

“Saya boleh faham mengapa penduduk tempatan bimbang tetapi ia tidak boleh diterjemahkan sebagai xenophobia dan perkauman.”

Katanya, ia amat penting untuk mencari punca tercetusnya kluster membabitkan pekerja asing seperti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di kilang.

Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang diterbitkan Disember lalu menekankan layanan buruk rakyat Malaysia terhadap pekerja asing apabila hampir separuh daripada 1,009 responden berkata, mereka percaya rakyat asing merosakkan ekonomi negara.

Selain itu, 82% mengaitkan mereka dengan kadar jenayah yang tinggi dan 68% pula berkata, kebanjiran pekerja asing mengancam budaya dan warisan Malaysia.

Pereira memberi amaran bahawa langkah mengasingkan pekerja asing berpotensi memberi kesan buruk terhadap ekonomi memandangkan negara luar yang menjadi pelabur kini memberi perhatian kepada cara setiap negara mengurus buruh asing.

Katanya, warga asing tidak boleh dikenakan “undang-undang atau peraturan yang mendiskriminasi” yang menghalang mereka daripada tinggal di kawasan sama dengan penduduk tempatan.

Hall memberitahu FMT bahawa pekerja asing memaklumkan kepadanya mereka mendapat jangkitan Covid-19 selepas mempunyai kontak dengan pekerja tempatan.

Katanya, kes kemudiannya menular dengan cepat dalam kalangan warga asing disebabkan keadaan tempat tinggal yang begitu sesak.

“Sebarang percubaan untuk menyalahkan mereka menyebabkan penularan Covid-19 mesti ditangani dengan mencari puncanya dahulu,” katanya.

“Terutamanya ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) apabila ramai pekerja asing hanya dibenarkan berada di tempat kerja dan asrama sahaja.

“Anda perlu melihat bagaimana virus boleh tersebar dalam komuniti sebelum ia merebak dengan pantas. Sebarang percubaan untuk memberi gambaran lebih buruk terhadap mereka adalah satu langkah yang tidak produktif.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.