Tiada pendapatan, hilang pekerjaan, makanan habis, penghuni flat di Ipoh bergelut

Tiada pendapatan, hilang pekerjaan, makanan habis, penghuni flat di Ipoh bergelut

Pengurus penyelenggaraannya, Ivan Lourdes, berkata sekurang-kurangnya separuh penduduk di flat tersebut kehilangan mata pencarian akibat wabak Covid-19.

Penghuni flat Panorama Lapangan Perdana di Ipoh beratur mendapatkan nasi lemak. (Gambar Ivan Lourdes)
PETALING JAYA:
Tanpa pendapatan dan hampir kehabisan makanan, sebahagian besar penghuni flat Panorama Lapangan Perdana di Ipoh berada dalam keadaan terdesak.

Pengurus penyelenggaraannya, Ivan Lourdes berkata, sekurang-kurangnya separuh penghuni di flat tersebut kehilangan mata pencarian akibat wabak Covid-19.

“Ramai tak mampu bayar sewa kerana kehilangan pekerjaan. Mereka juga bergelut untuk membeli makanan buat keluarga masing-masing.

“Sebagai pihak pengurusan flat, kami kini meminta orang ramai membantu penduduk di sini,” katanya kepada FMT.

Seorang penghuni menerima bantuan makanan daripada ahli pasukan Dr Lee Boon Chye. (Gambar Ivan Lourdes)

Beliau berkata, kanak-kanak yang tinggal di flat berkenaan tidak mendapat makanan berkhasiat dan pakaian yang bersih bagi memastikan mereka kekal sihat dan mampu melawan virus.

Kata Lourdes, pihak pengurusan sedaya upaya cuba membantu penduduk dengan mendekati parti politik seperti Pakatan Harapan, selain badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan bantuan makanan dan barangan runcit.

“Bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye datang memberikan 100 bungkus nasi lemak minggu lalu dan beberapa hari lalu beliau menyumbangkan barangan runcit seperti beras, gula, garam, mi kering dan banyak lagi.

“Bagaimanapun barangan runcit yang disumbangkannya hanya dapat membantu 30 unit. Flat ini mempunyai 600 unit dan sekurang-kurangnya 300 unit memerlukan bantuan,” katanya.

Flat Panorama Lapangan Perdana di Ipoh. (Gambar Ivan Lourdes)

Lourdes berkata, penduduk memerlukan barangan keperluan seperti beras, mi kering, susu tepung, gula, kopi dan lampin.

Beliau juga berharap agar syarikat yang mahu mengambil pekerja dapat mengedarkan risalah ke flat berkenaan dan mereka boleh menggunakan pejabat pengurusan untuk mengadakan temuduga.

“Wakil sebuah syarikat semikonduktor datang ke flat ini dan mengedarkan risalah. Saya menghubungi mereka dan memberitahu mereka dialu-alukan untuk menggunakan pejabat kami untuk temuduga terbuka. Saya harap syarikat lain dapat datang juga,” katanya.

“Penduduk di sini benar-benar sedang bergelut. Penting untuk bantu mereka dapatkan pekerjaan supaya mereka mereka dapat meraih pendapatan dalam masa terdekat,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Ivan Lourdes di talian 016-874 4491 atau Jasmine Tay di 017-784 5628.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.