PH tuntut bentang agenda pendidikan dalam sidang khas Parlimen

PH tuntut bentang agenda pendidikan dalam sidang khas Parlimen

Berdasarkan agenda mesyuarat, sidang Parlimen lima hari itu hanya melibatkan sesi pembentangan mengenai perancangan kerajaan berkait program pencegahan Covid-19, program vaksinasi, darurat, dan Pelan Pemulihan Negara.

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mendesak sidang khas Parlimen turut memasukkan pembentangan perancangan KPM dan KPT sebagai antara agenda mesyuarat.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mempersoalkan mengapa sesi persidangan khas Parlimen 26 Julai ini tidak membentangkan atau membahas isu pendidikan negara di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Jawatankuasa itu berkata berdasarkan agenda notis aturan mesyuarat dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, sidang Parlimen lima hari itu hanya melibatkan sesi pembentangan dalam bentuk penerangan menteri mengenai perancangan kerajaan berkait program pencegahan Covid-19, program vaksinasi, darurat, dan Pelan Pemulihan Negara.

“Sidang ini amat penting untuk rakyat melalui Ahli Parlimen mereka mengetahui perancangan kerajaan berhubung isu pendidikan,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, mereka mendesak sidang khas Parlimen turut memasukkan pembentangan perancangan KPM dan KPT sebagai antara agenda mesyuarat.

Katanya, isu pendidikan negara sama ada melibatkan sekolah mahupun universiti di kala wabak Covid-19 sama penting dengan isu kesihatan, keselamatan serta ekonomi dan ia perlu dibincang.

“Ahli Parlimen juga perlu diberikan ruang bertanya, berbahas dan memberikan pandangan terhadap perancangan dua kementerian itu,” katanya.

Katanya, rakyat telah hilang keyakinan kepada kerajaan kerana KPM dan KPT ketika ini dilihat sebagai kehilangan arah dan hala tuju dalam menguruskan sistem pendidikan negara.

Sidang Parlimen Khas selama 5 hari bermula 26 Julai hingga 2 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.