Rosli Azad Khan berkata, wujud kemungkinan syarikat tempatan yang mengambil bahagian dalam tender kerajaan tidak akan mendapat sokongan yang diperlukan daripada pembekal antarabangsa dari segi teknologi dan bahan.
Ini disebabkan wujud “risiko tinggi” projek akan ditangguhkan, katanya.
Rosli, seorang perunding dengan pengalaman lebih 40 tahun, berkata, ia mungkin menaikkan kos bahan dan peralatan yang diimport kerana syarikat asing juga akan mengambil kira risiko tersebut.

Memetik keputusan kerajaan untuk menamatkan perkhidmatan kontraktor Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2) sebagai contoh, beliau memberitahu FMT, syarikat antarabangsa amat mementingkan penilaian risiko.
KVDT2 terkait dengan kes mahkamah selepas kerajaan membatalkan kontrak yang pada asalnya diberikan kepada Dhaya Maju-LTAT pada awal 2018.
Projek ini melibatkan dua landasan antara Salak Selatan dengan Seremban, dan antara Kuala Lumpur Sentral dengan Pelabuhan Klang.
Selepas dua kali ditangguhkan, kedua-dua kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menarik balik pemberian projek berkenaan kepada Dhaya Maju-LTAT atas alasan kos.
Kontrak Dhaya Maju-LTAT dibatalkan pada Oktober 2018, namun disambung semula pada Julai 2019 setelah kerajaan PH mengaku tiada alasan untuk menamatkan kontrak tersebut. Walau bagaimanapun, kosnya dikurangkan seiring dengan pengurangan skop kerja.
September lalu, kerajaan PN membatalkan kontrak syarikat berkenaan atas alasan sama dan ini menyebabkan pertikaian yang dibawa ke mahkamah.
Rosli berkata, Malaysia mungkin disenaraikan sebagai antara negara yang “tidak diyakini” dan ini boleh mengakibatkan syarikat asing meneliti elemen ketidakpastian dan faktor risiko lain jika projek mega kerap dibatalkan.
Syarikat antarabangsa tambahnya, juga akan takut untuk mengambil bahagian dalam tender kerajaan pada masa hadapan dan mungkin akan memasukkan klausa dalam kontrak mereka untuk melindungi diri daripada projek yang dibatalkan.
“Mereka tidak akan percaya tender kerajaan lagi,” katanya.
Rosli berkata, Jemaah Menteri harus mendapatkan nasihat Peguam Negara mengenai penamatan kontrak besar.
Kerajaan juga mungkin terpaksa menggunakan dana awam jika kalah dalam kes mahkamah.
“Cadangan saya adalah agar kerajaan menyemak kembali kontrak sedemikian dan mendapatkan pandangan Peguam Negara, terutamanya mengenai implikasi kewangan yang besar,” kata Rosli.

Ini dipersetujui Ketua Pengarah Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito yang menambah bahawa kestabilan persekitaran perniagaan negara “menjadi pertaruhan”.
Beliau memberi amaran bahawa amalan seperti itu boleh menjejaskan kredibiliti negara dan ini tidak baik memandangkan pelaburan langsung asing semakin menurun.
“Ia juga memberi tanggapan bahawa pihak yang mempunyai kuasa politik bebas mengatasi kontrak yang telah diluluskan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan mungkin akan terdorong untuk menggunakan lagi kuasa politik sedemikian pada masa hadapan.
Seperti Rosli, Ferlito berkata, amalan seperti itu boleh mempengaruhi keyakinan pelabur selain meningkatkan keraguan sektor swasta tempatan untuk bekerjasama dengan kerajaan.
“Lebih teruk lagi, sektor swasta mungkin akan terdorong menyiapkan projek berkualiti rendah untuk mengelak kesan risiko pembatalan,” katanya.