
Carolyn Lee Yen Nee, 33, berkata sebuah bank menghubunginya 28 Nov lalu memaklumkan terdapat enam transaksi luar biasa dalam akaunnya.
“Transaksi itu dilakukan tanpa mendapat persetujuan saya di Shopee. Lima transaksi membabitkan pengeluaran RM2,700 setiap satu, satu transaksi sebanyak RM1,080, dengan jumlah keseluruhan RM14,580 dipindahkan (dari akaun saya),” katanya dalam kenyataan.
Beliau membuat laporan polis dan bank kemudiannya membekukan akaunnya kerana kes itu masih dalam siasatan.
Lee berkata, aduan rasmi sudah dibuat kepada Shopee.
Namun, lebih enam bulan berlalu, wanita itu masih menunggu perkembangan membabitkan kesnya daripada pihak berkuasa berkaitan.
Bimbang dengan tiada perkembangan dalam kes itu, Lee meminta bantuan ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe daripada DAP.
“Lee datang menemui saya untuk meminta bantuan kerana risau tidak menerima sebarang perkembangan kesnya selepas enam bulan menunggu.
“Jadi, saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera berhubung kes terbabit dan menghubunginya,” katanya sambil menambah wanita itu sudah membuat laporan kepada BNM.
Phoong yang juga Ketua Pemuda DAP Sabah memutuskan untuk mendedahkan kes itu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.
Katanya, rayuan kepada Shopee berhubung perkara itu tidak berjaya kerana platform beli-belah dalam talian itu menganggap ia adalah transaksi sah.
“Saya berharap orang ramai mengambil iktibar bagi mengelakkan insiden sama berulang.
“Saya tidak pernah mendaftarkan kad saya dengan platform itu dan saya tidak menerima sebarang kata laluan sekali guna (OTP) daripada bank.
“Tidak adil bagi saya terus membayar kadar faedah untuk bayaran (yang saya tidak lakukan),” kata Lee.
Phoong merayu Shopee meneliti perkara itu kerana Lee seperti ramai orang lagi, turut terjejas akibat pandemik.
“Saya menggesa Shopee menyiasat isu ini dan memaklumkan Lee berhubung bila, bagaimana dan siapa yang membuat bayaran itu.”
Katanya, kerajaan perlu memperkenalkan inisiatif untuk melindungi orang awam daripada penipuan sedemikian kelak kerana mendakwa terdapat peningkatan kes sama ketika pandemik.