
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, jika terdapat keperluan bagi tujuan itu, beliau akan mengusulkan pindaan akta, enakmen atau peraturan dewan berkaitan di awal persidangan secara fizikal supaya persidangan secara hibrid dapat dilaksanakan secara sah.
“Selepas pindaan diluluskan, kita akan meneruskan sidang DUN secara hibrid dalam usaha kita untuk mengelakkan perebakan Covid-19,” katanya kepada Bernama.
Amirudin berkata, ujian saringan Covid-19 kepada mereka yang akan terlibat dengan persidangan DUN bakal dijalankan dalam masa terdekat, selain hanya petugas sidang DUN serta pengamal media yang lengkap menerima dua dos vaksin dibenarkan bertugas di sana.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga selesai menjalankan satu sesi libat urus secara webinar dengan Ahli Parlimen, ADUN kerajaan dan pembangkang bagi membincangkan perkembangan inisiatif “Pakej Kita Selangor”.
Beliau berkata, perbincangan itu turut melibatkan kemungkinan pindaan kepada belanjawan negeri, terutamanya jika melibatkan pertukaran peruntukan sesebuah agensi.
Media sebelum ini melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi perkenan pembukaan sidang DUN Selangor pada 23 Ogos hingga 6 Sept ini.
Amirudin berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga memberi perkenan bagi tujuan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 DUN Selangor Ke-14 2021 dan merasmikan Istiadat Pembukaan sidang DUN pada Isnin, 23 Ogos ini.
Katanya, sidang DUN kali ini mengikut format sidang biasa yang mempunyai sesi soal jawab dan perbahasan, bukan sekadar sidang khas dengan kawalan tatacara pengendalian piawai dan memfokuskan usaha kerajaan negeri menangani penularan Covid-19.