
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Mohd Hafiz Ahmad Termizi berkata, mayat Sharul Nizwan Said, 33, yang berpakaian lengkap ditemui kira-kira 2.5km dari lokasi kejadian oleh pasukan penyelamat 4 petang tadi.
“Semalam, kita dah buat operasi mencari dan menyelamat (SAR), tetapi belum jumpa dan hari ini kita teruskan operasi seawal 8 pagi tadi dengan beberapa strategi, antaranya memecahkan kumpulan pencarian di dasar laut dan permukaan air yang dilakukan mengikut SOP.
“Dari segi status kecederaan fizikal, kami masih menunggu pengesahan laporan daripada hospital,” katanya di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, katanya, lori seberat tiga tan yang dipandu mangsa dijumpai di dasar laut pada 11.23 pagi semalam dan masih dalam proses dinaikkan ke permukaan kerana terdapat beban, selain arus deras di dasar laut.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan operasi pencarian ditamatkan 5.15 petang tadi.
Operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini membabitkan lebih 60 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi, termasuk polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam serta dua anjing pengesan bomba.
Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi semalam, Sharul Nizwan hilang dan dikhuatiri lemas selepas lori yang dipandunya secara mengundur terjatuh ke laut ketika melakukan kerja pembersihan arang batu bersama empat pekerja warga asing.