Kenduri punca kluster baharu Covid-19 di luar bandar Sabah

Kenduri punca kluster baharu Covid-19 di luar bandar Sabah

Sebanyak 17 kes positif dikesan dalam kluster Kampung Pukak di Tuaran.

Masidi Manjun berkata, Sabah mencatatkan 657 kes dalam tempoh 24 jam lalu, hari keempat berturut-turut jangkitan harian melebihi 600 kes. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Satu kenduri kesyukuran dipercayai menjadi pencetus kluster baharu Pukak di Tuaran, dengan sekurang-kurangnya 17 orang disahkan Covid-19 di sebuah kampung terpencil di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, kes indeks ialah seorang lelaki berusia 47 tahun yang menyertai majlis pada 3 Julai lalu, yang turut dihadiri saudara terdekat dan penduduk dari kampung berdekatan.

Katanya, lelaki itu mengalami gejala seperti demam, batuk dan selsema pada 7 Julai lalu, sebelum ujian saringan menunjukkan dia positif dua hari kemudian.

“Daripada 55 kontak rapat yang disaring, 16 dikesan positif, menjadikan jumlah kumulatif kes positif kluster ini sebanyak 17 kes, termasuk sembilan kes baharu hari ini,” katanya dalam taklimat harian Covid-19.

Selain penduduk Kampung Pukak, beliau berkata, individu dari Kampung Pinagon dan Kuarters Loji Air Telibong 1 berdekatan turut disaring.

Masidi berkata, Sabah mencatatkan 657 kes dalam tempoh 24 jam lalu, hari keempat berturut-turut jangkitan harian melebihi 600 kes.

Katanya, kebanyakan kes itu dikesan melalui saringan kontak rapat (199 kes) dan 317 kes saringan ke atas kluster aktif.

“Majoriti daripada 317 kes itu datang daripada kluster penjara, dengan 245 kes dari kluster Tembok Kota Kinabalu, yang merupakan Penjara Kepayan (di ibu negeri) dan kluster Tembok Tawau 2 (Penjara Tawau).”

Beliau berkata, 58.9% atau 387 kes hari ini adalah Kategori 1 (tidak bergejala), manakala 33.5% atau 220 orang dalam Kategori 2 (gejala ringan).

Masidi berkata, hanya seorang pesakit adalah Kategori 3 (radang paru-paru) dan satu lagi dalam Kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan oksigen).

Katanya, 48 yang lain masih menunggu klasifikasi kategori.

Sebanyak 88 lokaliti di Sabah dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan ketika ini, dengan yang paling banyak di ibu negeri, iaitu 23 lokaliti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.