Tioman mampu jadi perintis pulau bebas Covid-19

Tioman mampu jadi perintis pulau bebas Covid-19

Pulau ini dilihat sebagai lokasi 'selamat' untuk menghidupkan kembali aktiviti pelancongan tempatan, menurut seorang pakar kesihatan awam.

Kadar vaksinasi di Pulau Tioman yang mempunyai kira-kira 3,500 penduduk sudah mencapai 100% bagi dos pertama, manakala vaksinasi lengkap akan dicapai pada akhir bulan ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakar kesihatan awam mencadangkan Pulau Tioman di Pahang menjadi perintis pulau bebas Covid-19 dengan membenarkan individu yang lengkap menerima dua dos vaksin diberi kelonggaran melancong ke pulau berkenaan pada bila-bila masa.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Awam Dr Zainal Omar berkata, Pulau Tioman dilihat sebagai lokasi “selamat” untuk menghidupkan kembali aktiviti pelancongan tempatan kerana kadar vaksinasi di lokaliti berkenaan sudah mencapai 100% bagi dos pertama dan vaksinasi lengkap akan dicapai pada akhir bulan ini.

Pulau Tioman mempunyai kira-kira 3,500 penduduk.

Katanya, selepas projek perintis itu berjaya, tidak mustahil pulau lain juga mampu dibuka kepada pengunjung.

Selain Pulau Tioman, beliau turut mencadangkan Labuan dan Langkawi sebagai destinasi rintis pelancongan bebas Covid-19 atau “gelembung hijau” dan bersedia menerima pelancong tempatan pada bila-bila masa.

“Langkah itu bagi merancakkan semula ekonomi setempat yang banyak bergantung kepada aktiviti pelancongan yang terjejas teruk sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan 1.0 pada Mac tahun lalu tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengelakkan penularan wabak,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, banyak lokasi pelancongan luar negara sudah mula memperkenalkan konsep itu seperti Phuket, Thailand dan negara kepulauan seperti Maldives dan Malta.

Namun pada peringkat awal katanya, Langkawi, Labuan dan Pulau Tioman patut dibuka untuk pelancong tempatan sahaja.

“Pengunjung pula mesti lengkap dua dos vaksin dan tiada gejala. Kita mula dulu dengan pelancong tempatan,” katanya.

Bagi menjayakan usaha itu, Zainal yang juga bekas Pengarah Kesihatan Negeri Pahang mengesyorkan beberapa syarat yang boleh dikuatkuasakan, antaranya menyegerakan liputan vaksinasi di Langkawi dan Labuan melebihi 80% daripada populasi dewasa.

“Pihak berkuasa tempatan juga perlu memastikan tiada kluster atau kes dalam tempoh 14 hari di lokaliti berkenaan, selain mempunyai kemudahan kesihatan yang baik serta lapangan terbang atau terminal feri yang selesa,” katanya.

Zainal berkata, pengunjung dari luar negara pula boleh dibenarkan melancong ke pulau peranginan di negara ini selepas keadaan jangkitan Covid-19 menjadi stabil.

“Ketika kadar jangkitan Covid-19 sudah terkawal, pelancong asing tidak perlu lagi dikuarantin,” katanya.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri mengumumkan Langkawi sebagai sebagai destinasi rintis pelancongan bebas Covid-19 atau “gelembung hijau pelancongan” menjelang September.

Katanya, ia sejajar dengan sasaran kerajaan bahawa pulau dengan jumlah populasi dewasa seramai 76,400 orang itu akan mencapai imuniti kelompok menjelang waktu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.