
Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata kelonggaran bagi kawasan PPN Fasa 1 antaranya kehadiran di pejabat bagi sektor awam ditingkatkan kepada 40% tertakluk kepada arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Manakala, perkhidmatan perakaunan juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60%.
“Operasi pasar harian dan pasar awam dilanjutkan dari 6 pagi hingga 4 petang tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pematuhan SOP dan pengawasan anggota RELA atau PBT.
“Manakala, waktu operasi bagi Pasar Segar Terkawal (PST) akan dilanjutkan dari 7 pagi hingga 2 petang. Aktiviti berbasikal dan permainan individu yang boleh mengamalkan penjarakan fizikal 2-3 meter dibenarkan di kawasan kejiranan sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Ismail yang juga Menteri Pertahanan turut memaklumkan aktiviti pelabuhan, lapangan terbang dan sektor logistik turut dibenarkan beroperasi 24 Jam.
“Pengoperasian lombong dan kuari dibenarkan dengan kapasiti pekerja sehingga 60% tertakluk kepada SOP perlombongan dan pengkuarian. Ini bagi memenuhi keperluan kepada projek kritikal yang melibatkan pembaikan dan pembinaan jalan raya, jalan luar bandar serta persekutuan,” katanya.
Bagi negeri yang beralih ke Fasa 2 pula kelonggaran diberikan untuk aktiviti penggambaran filem di luar studio dilakukan dengan pematuhan SOP ketat.
Manakala waktu operasi premis perniagaan di negeri Fasa 2 dibenarkan dari 6 pagi hingga 10 malam termasuk stesen minyak.
Dalam perkembangan lain, Ismail mengingatkan rakyat bersabar dan berkorban pada Aidiladha tahun ini, dengan tidak merentas daerah atau negeri untuk balik beraya di kampung halaman demi memastikan usaha membendung penularan Covid-19 membuahkan hasil.
“Esok, kita bakal meraikan Aidiladha dalam keadaan berjauhan daripada ibu bapa, keluarga dan kampung halaman.
“Cabaran pengorbanan ini akan dapat kita lalui bersama demi kesejahteraan dan keselamatan insan-insan yang kita sayangi.
“Semoga Hari Raya Korban ini memberi iktibar kepada kita tentang erti ‘pengorbanan’ untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 dan membantu negara pulih sepenuhnya.”
Beliau turut mengingatkan semua pihak mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa agama negeri untuk solat sunat Aidiladha.