
Menteri Besar Amirudin Shari berkata, buat masa ini hanya satu unit krematorium boleh digunakan di bawah kelolaan Majlis Perbandaran Klang (MPK), manakala dua lagi unit rosak.
“Setakat ini yang berfungsi satu sahaja dan kita hendak tambah lagi dua. Yang swasta ada lagi tapi tidak banyak. Ini antara usaha kita untuk mempermudah urusan tersebut dan dalam masa sama tidak menggunakan kos tinggi.
“Krematorium tersebut milik pihak berkuasa tempatan (PBT) dan urusan pengedaliannya akan dikelola bersama dengan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin turut menyasarkan urusan pengebumian jenazah dilakukan tiga kali sehari selepas inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat diumumkan pada Sabtu.
“Selepas ini, kita akan tetapkan masa, iaitu pagi satu sesi, tengah hari atau petang satu sesi, malam satu sesi. Secara tidak langsung kita boleh mempercepat urusan dan mengurangkan bilangan jenazah di bilik mayat hospital,” katanya.
Urusan pengebumian jenazah dilakukan satu hingga dua kali sehari dalam tempoh seminggu ini bergantung kepada jumlah jenazah di bilik mayat hospital.
Setakat ini, lebih 20 jenazah warganegara dan warga asing telah dikebumikan atas inisiatif berkenaan.
Mengenai dua tanah perkuburan dipilih untuk usaha tersebut, Amirudin berkata, setakat ini tanah perkuburan Islam di Seksyen 21 masih mempunyai 3.64ha tanah yang belum digunakan, begitu juga di tanah perkuburan Islam Selat Klang dengan baki keluasan tanah sama, cukup untuk menampung jumlah jenazah ketika ini.
Inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat adalah satu usaha kerajaan negeri mengurangkan masa pengurusan selain mengelak kesesakan jenazah dan mayat di beberapa hospital di Selangor.
Amirudin dalam kenyataan berkata, inisiatif berkenaan melibatkan urusan jenazah dan mayat Covid-19 sama ada orang Islam atau bukan Islam di tiga hospital, iaitu Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.
Pihaknya juga telah menghubungi Kementerian Luar dalam usaha mempercepat proses pengesahan jenazah atau mayat warga asing, khususnya di tiga buah hospital terbabit, susulan banyak jenazah atau mayat yang tidak dapat diuruskan dengan cepat.