Pemandu ladang bawa pesakit Covid-19 antara pencetus kluster di Sabah

Pemandu ladang bawa pesakit Covid-19 antara pencetus kluster di Sabah

Kes indeks Kluster Agathis berusia 46 tahun itu dikesan positif Covid-19 melalui saringan di klinik swasta di ladang tempatnya bekerja, kata Masidi Manjun.

Jumlah kes Covid-19 terkini yang dilaporkan bagi kluster Agathis adalah 33 kes termasuk 31 kes baharu membabitkan pekerja ladang dan klinik, kata Masidi Manjun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu di sebuah ladang kelapa sawit menjadi penyebab tercetusnya salah satu kluster baharu Covid-19 di Sabah.

Kes indeks kluster Agathis berusia 46 tahun yang pernah membawa pesakit bergejala ke klinik dikesan positif Covid-19 melalui saringan di klinik swasta di ladang tempatnya bekerja pada 14 Julai, kata jurucakap Covid-19 Sabah, Masidi Manjun.

Kluster Agathis di Kalabakan adalah antara empat kluster baharu yang dilaporkan di Sabah, masing-masing dua berkait tempat kerja, manakala dua kluster lagi membabitkan pusat rawatan dan penjara.

Kata Masidi, jumlah kes Covid-19 terkini yang dilaporkan bagi kluster itu adalah 33 kes, termasuk 31 kes baharu membabitkan pekerja ladang dan klinik.

“Kita masih melakukan siasatan lanjut pengesanan kontak rapat dan mengenal pasti punca jangkitan,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Berita Harian malam tadi.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 27 tahun dilaporkan mencetuskan kluster Batu Tiga Utara membabitkan sebuah pusat rawatan dialisis di Sandakan selepas dikesan positif Covid-19 menerusi saringan bergejala di klinik swasta pada 13 Julai.

Menurut Masidi, seramai empat ahli keluarga kes indeks juga didapati positif melalui saringan kontak serumah.

Kluster itu merekodkan jumlah kumulatif 19 kes termasuk 17 kes yang dilaporkan semalam.

Sementara itu, kluster Tembok Dua yang tercetus di Penjara Tawau membabitkan 35 banduan yang disahkan positif dalam saringan prapengeluaran penjara pada 16 Julai.

Satu lagi kluster, Sri Sandau, dilaporkan tercetus di Kinabatangan setelah seorang pekerja wanita warga asing di ladang kelapa sawit di situ disahkan positif selepas menjalani saringan di klinik swasta di Nangoh, Beluran pada 12 Julai lalu.

Berdasarkan saringan kontak, seramai 10 rakan sekerja kes indeks disahkan positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 11 kes sehingga semalam, kata Masidi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.