Najib cadang vaksin remaja bawah 18 tahun, luluskan dos ketiga

Najib cadang vaksin remaja bawah 18 tahun, luluskan dos ketiga

Ia sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya kadar vaksinasi yang tinggi tidak menurunkan kes baharu dan kematian baharu Covid-19, kata bekas perdana menteri.

PETALING JAYA:
Kerajaan disaran membenarkan vaksinasi bagi remaja berusia 12 tahun hingga 18 tahun dan meluluskan pengambilan dos ketiga untuk golongan yang sudah selesai divaksin.

Najib Razak berkata, ia sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya kadar vaksinasi yang tinggi tidak menurunkan kes dan kematian baharu Covid-19 seperti yang berlaku di negara lain seperti Chile.

“Kita perlu ada ‘backup plan’ atau langkah-langkah untuk mengurangkan risiko (jika) pelan kita tidak berjaya,” kata bekas perdana menteri di Facebook.

Najib berkata, paras vaksinasi di Chile jauh lebih tinggi berbanding Malaysia, iaitu hampir 60% penduduk selesai diberi dua dos vaksin berbanding 11.4%, tetapi kes dan kematian baharu Covid-19 di negara itu tetap tinggi.

Kadar kematian di Chile kekal tinggi meskipun kes baharu menunjukkan trend penurunan selepas “lockdown” pada Jun, tambahnya.

Najib berkata, beberapa negara sudah mula menawarkan dos ketiga buat rakyat masing-masing bagi meningkatkan kadar keberkesanan vaksin, terutama terhadap varian baharu virus Covid-19.

“Kita jangan jadi antara negara paling lewat untuk luluskan dan mulakan kedua-dua inisiatif ini,” katanya.

“Kita beri keutamaan untuk memastikan kedua-dua cadangan ini adalah selamat dan sekiranya selamat, kita luluskan dan laksanakan serta-merta.”

Sekiranya kes baharu di Malaysia tetap tinggi setelah beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara, Najib menyarankan “lockdown ketat” bagi tempoh yang singkat.

“Sebanyak 7 hari atau 14 hari bagi memutuskan trend kenaikan Covid-19…Jika dibuat ‘lockdown’ kita mesti ketat dan singkat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.