Mesyuarat jawatankuasa pilihan Parlimen patut disiar secara langsung

Mesyuarat jawatankuasa pilihan Parlimen patut disiar secara langsung

Ini memainkan peranan penting dalam mengembangkan minat dan penyertaan masyarakat dalam proses demokrasi, kata Azrul Mohd Khalib.

CEO Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi mesti dapat ditonton oleh masyarakat awam melalui penstriman langsung.
PETALING JAYA:
Mesyuarat jawatankuasa Parlimen harus disiarkan secara langsung untuk memastikan penyertaan masyarakat dalam proses demokrasi, kata ketua sebuah badan pemikir.

CEO Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata, walaupun lebih perhatian akan tertumpu pada sidang Dewan Rakyat, sama penting untuk memastikan perbincangan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi diperhatikan umum.

Katanya, mesyuarat jawatankuasa mesti dapat ditonton masyarakat awam melalui penstriman langsung.

“Siaran dan kemudian penstriman secara langsung sesi Parlimen memainkan peranan penting dalam mengembangkan minat dan penyertaan masyarakat dalam demokrasi kita,” katanya dalam kenyataan.

Azrul Mohd Khalib.

“Perbincangan dan perbahasan di ruang Parlimen sebelum ini hanya dapat diakses melalui laporan media dan bagi mereka yang cukup berani untuk membaca Hansard.

“Hari ini, ia dapat diikuti secara langsung di TV, skrin komputer dan telefon bimbit.

“Pendekatan sama berhubung ketelusan, akauntabiliti dan penglibatan masyarakat awam harus dibawa ke prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi.”

Kata Azrul, tidak boleh diterima bahawa orang ramai boleh mengakses sidang jawatankuasa Senat AS, mesyuarat jawatankuasa pilihan Parlimen UK dan mesyuarat jawatankuasa pilihan tertentu di Singapura sedangkan rakyat Malaysia tidak memperoleh akses yang sama.

“Bahkan kita dapat menonton mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Parlimen New Zealand menerusi Facebook Live. Namun kita tidak dapat berbuat perkara sama di sini.

“Kita seharusnya dapat akses kepada mesyuarat jawatankuasa pilihan Parlimen Malaysia, sesuai dengan contoh negara demokratik moden dan progresif dalam abad ke-21.

Katanya, penstriman langsung buat tontonan orang ramai adalah wajar dan jika Peraturan Tetap perlu diubah untuk memastikan ini dapat dilakukan, ia perlu dibuat segera.

Pada 5 Julai, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan mesyuarat khas Parlimen akan diadakan selama lima hari bermula 26 Julai untuk memberi penerangan kepada Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara.

Dewan Negara akan bersidang selama tiga hari mulai 3 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.