Guna lori kelapa edar heroin, polis berkas 4 lelaki, rampasan RM265,000

Guna lori kelapa edar heroin, polis berkas 4 lelaki, rampasan RM265,000

Polis merampas heroin seberat 23.85kg dalam serbuan di Perak dan Pulau Pinang semalam.

Ketua Jabatan Siastaan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata siasatan mendapati pemandu dan kelindan lori berumur 26 hingga 32 tahun ditugaskan menghantar bekalan kelapa dari Bagan Datuk ke Pulau Pinang bersama dadah.
GEORGE TOWN:
Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik penghantaran kelapa menggunakan lori selepas menahan empat lelaki dan merampas heroin 23.85kg bernilai RM265,000, dalam serbuan di Pulau Pinang dan Perak, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata dalam kejadian 10.05 pagi, polis yang memeriksa sebuah lori di sekatan jalan raya Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, menemukan 53 bungkusan dadah jenis heroin.

Beliau berkata, siasatan mendapati pemandu dan kelindan lori berumur 26 hingga 32 tahun itu ditugaskan menghantar bekalan kelapa dari Bagan Datuk, Perak ke Pulau Pinang, dengan turut membawa dadah dari sana (Perak) untuk pasaran di sini.

“Semua heroin seberat 23.85kg bernilai RM265,000 yang dirampas itu ditemukan tersembunyi dalam ruang ‘kabin’ lori dan semasa ditahan mereka baru sahaja menghantar kelapa di kawasan George Town serta dalam perjalanan menghantar dadah kepada ahli sindiket di Perai, dekat sini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang.

Katanya, ekoran penahanan mereka polis menahan seorang lagi pemandu lori berumur 35 tahun di Rungkup, Bagan Datuk pada 4 petang hari sama, dan siasatan mendapati sindiket itu menjalankan kegiatan mengedar dadah sejak April lepas dengan membuat penghantaran kelapa serta dadah sebanyak empat hingga lima lima kali sebulan ke Pulau Pinang.

Mustafa Kamal berkata, empat lelaki yang ditahan itu berperanan sebagai penghantar bekalan dadah dengan menerima bayaran RM1,000 bagi setiap perjalanan dan semua mereka mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, serta turut disahkan positif dadah.

Sementara itu, beliau berkata polis berjaya menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah selepas menahan lima lelaki termasuk pelajar universiti awam dan merampas ganja serta heroin bernilai RM83,175.90 dalam serbuan pada 16 dan 17 Julai lepas.

Katanya, pada 16 Julai polis menahan sebuah lori di tepi jalan di kawasan Gelugor pada 6.30 petang dan menahan tiga lelaki yang sedang memunggah ketulan mampat ganja seberat 24.6 kg untuk dibawa ke sebuah pangsapuri di situ, sebelum seterusnya memeriksa kediaman dan menemukan 1.9kg heroin bersama 16.8g ganja.

“Polis kemudian menyerbu sebuah lagi pangsapuri di kawasan yang sama dan merampas RM7,000 iaitu duit hasil kegiatan pengedaran dadah, di samping menyita sebuah Perodua Myvi, sebelum menahan suspek keempat dan kelima di kawasan George town. Lima lelaki ditahan itu berusia 22 hingga 46 tahun,” katanya.

“Semua lima lelaki itu positif dadah dan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah,mereka dan empat lelaki kes pertama kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya semua dadah dirampas dari sindiket tersebut boleh digunakan 180,000 penagih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.