Aidiladha pilu lelaki warga emas, 2 insan tersayang korban Covid-19

Aidiladha pilu lelaki warga emas, 2 insan tersayang korban Covid-19

Mohd Latiff Rahmad, 67, hanya mampu mengalirkan air mata apabila menerima berita pemergian isteri dan anak lelakinya, selang enam jam.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) menziarahi Mohd Latiff Rahmad (kiri) yang kehilangan isteri dan anak lelaki akibat Covid-19.- Foto FB Dr Dzulkefly
PETALING JAYA:
Tiada yang lebih memilukan bagi seorang lelaki warga emas apabila menyambut Aidiladha tanpa dua insan tersayang yang menjadi korban Covid-19 pada 14 Julai lalu.

Mohd Latiff Rahmad, 67, dari Kampung Batu 4, Ijok, Kuala Selangor, hanya mampu mengalirkan air mata apabila menerima berita pemergian isteri dan anak lelakinya, selang enam jam.

Isterinya, Sainon Kutut, 61, disahkan meninggal dunia pada 4.30 pagi, disusuli anak lelakinya, Azman Mohd Latiff, 25.

Sainon yang menghidap kencing manis dan darah tinggi meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh (HSB) manakala Azman meninggal dunia di rumah dipercayai sesak nafas.

Latiff menerima berita kematian Azman yang ketika itu dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK), dan pada masa sama dia sedang mendengar taklimat pengurusan jenazah isterinya di HSB.

Latiff berkata, pemergian insan tercinta nyata mengubah sepenuhnya kehidupan yang sebelum ini bergantung penuh kepada mereka.

“Susah nak digambarkan apa yang dirasa ketika ini. Allah sahaja yang mengetahui perasaan saya sewaktu Dia ‘ambil’ isteri dan anak dalam waktu singkat.

“Mereka berdua tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap atau tanda akan meninggalkan saya.

“Selepas ini, saya harus kuat menempuh kehidupan tanpa mereka,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Terdahulu, warga emas itu dikunjungi Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC).

Latiff berkata, jenazah isteri dan anak lelakinya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Bukit Badong, Bestari Jaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.