
Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, sekurang-kurangnya 56 rumah musnah terbakar selepas api marak terlalu cepat disebabkan struktur berasaskan kayu serta faktor angin.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K Ramin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 50 anggota dan pegawai bersama sembilan jentera dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, api didapati sedang marak dan operasi memadam kebakaran segera dilakukan bagi mengawal daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.
“Api hanya berjaya dikawal daripada terus merebak jam 10.55 dan seterusnya kerja-kerja ‘overhaul’ dilakukan bagi memastikan bara api dipadam sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi.
Affendy berkata, kedudukan rumah yang terlalu hampir antara satu sama lain dipercayai menjadi punca api cepat merebak.
Katanya, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan bahagian forensik JBPM.
“Operasi pemadaman kebakaran turut dibantu polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya.