Wanita, anak 5 tahun bergelang ‘pink’ Covid-19 ditemui maut ketika suami di kuarantin di MAEPS Serdang

Wanita, anak 5 tahun bergelang ‘pink’ Covid-19 ditemui maut ketika suami di kuarantin di MAEPS Serdang

Mayat ibu berusia 38 tahun dan anaknya ditemui di luar sebuah bangunan di Taman Tenaga, Salak Selatan, Cheras, Kuala Lumpur.

Menurut polis, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati terdapat kecederaan di kepala.
PETALING JAYA:
Seorang wanita dan anak perempuannya berusia 5 tahun yang memakai gelang ‘pink’ kuarantin Covid-19 ditemui maut di luar sebuah bangunan di Taman Tenaga, Salak Selatan, Cheras, Kuala Lumpur.

Sejurus selepas kejadian itu dilaporkan, polis mendapati suami wanita itu di kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS Serdang, kerana disahkan positif Covid-19.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Annas Sulaiman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira 6 petang semalam.

Beliau berkata wanita berusia 38 tahun itu adalah warga India.

“Pegawai perubatan hadir ke tempat kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia. Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati terdapat kecederaan di kepala.

“Siasatan awal juga tidak menemui unsur jenayah, Siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Individu yang mempunyai masalah boleh menghubungi sukarelawan terlatih di Befrienders menerusi talian 03-7627-2929 pada bila-bila masa, atau melalui e-mel https://www.befrienders.org.my/centre-in-malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.