Orang awam nekad terjun longkang selamatkan mangsa kemalangan

Orang awam nekad terjun longkang selamatkan mangsa kemalangan

Kejadian itu membabitkan empat sekeluarga yang kenderaan dinaiki mereka terbalik lalu terjunam ke dalam sebuah longkang sedalam 7 kaki, di Kuching.

Kenderaan yang dinaiki empat sekeluarga terbalik lalu terjunam ke dalam longkang, di Jalan Camar, Kuching, malam tadi. (Gambar Facebook JBPM Sarawak)
PETALING JAYA:
Tindakan pantas sekumpulan orang awam termasuk penghantar makanan bermotosikal berjaya menyelamatkan empat sekeluarga yang mengalami kemalangan selepas kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam longkang di Jalan Camar, dekat Petra Jaya, di Kuching, malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 9.23 malam.

Katanya, menurut laporan diterima terdapat sebuah kenderaan terbalik dan terjunam ke dalam longkang sedalam 7 kaki di jalan terbabit.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan terdapat empat orang mangsa dan telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh pasukan bomba untuk mendapatkan rawatan lanjut. (Gambar Facebook JBPM Sarawak)

“Mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak hanya mengalami cedera ringan dan telah dihantar oleh pihak bomba ke HUS (Hospital Umum Sarawak) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi FMT.

Khirudin berkata, pihak bomba amat menghargai tindakan berani orang awam termasuk sekumpulan penghantar makanan yang nekad terjun ke dalam longkang terbabit untuk menyelamatkan semua mangsa.

Sementara itu, JBPM Sarawak dalam hantaran di Facebook, semalam berkata lebih daripada 12 orang yang terdiri daripada orang awam termasuk penghantar makanan telah terjun ke dalam longkang terbabit.

“Tindakan pantas mereka sebagai “first responder” adalah bagi mengelakkan air masuk ke dalam kereta,” tulis hantaran itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.