Kes Covid-19 meningkat, zon hijau Hospital Melaka ditutup mulai esok

Kes Covid-19 meningkat, zon hijau Hospital Melaka ditutup mulai esok

Perkhidmatan itu dipindahkan ke Klinik Kesihatan Peringgit yang akan beroperasi 24 jam.

Ini susulan kesesakan akibat peningkatan kes Covid-19 itu menyebabkan ketidakselesaan serta kelewatan kepada pesakit yang memerlukan rawatan ringan dan tidak kritikal, kata Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Rahmad Mariman.
MELAKA:
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka akan menutup sementara Zon Hijau di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka bermula esok berikutan kesesakan di jabatan itu susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri berkenaan.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Rahmad Mariman berkata perkhidmatan zon hijau hospital itu akan dipindahkan ke Klinik Kesihatan (KK) Peringgit yang terletak kira-kira 1.5km dari situ dengan waktu operasi perkhidmatan dipanjangkan kepada 24 jam.

“Kesesakan kerana peningkatan kes rawatan Covid-19 itu menyebabkan ketidakselesaan serta kelewatan kepada pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan bagi kes-kes ringan dan tidak kritikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Rahmad berkata 16 klinik komuniti yang merekodkan purata kedatangan harian kurang daripada 40 pesakit di negeri itu ditutup sementara berkuat kuasa esok sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Keputusan ini diambil sebagai strategi mengukuhkan keperluan sumber manusia di fasiliti kesihatan awam termasuk dari segi mobilisasi kakitangan dari klinik komuniti ke fasiliti yang lebih memerlukan seperti di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Saringan Covid-19, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta di fasiliti kesihatan lain.

“Bagaimanapun ia tidak melibatkan Klinik Komuniti Batang Melaka di daerah Jasin kerana purata kedatangan harian melebihi 100 pesakit,” katanya menambah berikutan penutupan sementara itu perkhidmatan klinik komuniti termasuk penjagaan luka akan dilakukan di klinik kesihatan berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.